Menu Utama

Setiausaha Agong Pas, Takiyuddin dipecat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dikatakan dipecat daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kawasan Kota Bharu yang diketuai Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang juga Pengerusi Gerakan Harapan Baharu (GHB) Kelantan.

Menurut sumber, difahamkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pas kawasan tersebut pada 15 Julai lalu, dua hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, dalam mesyuarat tersebut, Wan Abdul Rahim dikatakan turut memecat Pengarah Pilihan Raya Pas kawasan tersebut, Hamid Seman.

“Dalam mesyuarat itu juga, Wan Abdul Rahim dikatakan turut mengumumkan menyerahkan tugasnya sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Kota Bharu kepada timbalannya, Dr. Rosli Allani Abdul Kadir.

“Penyerahan jawatan ini juga agak pelik dan tidak selari dengan perlembagaan parti kerana Wan Abdul Rahim tidak meletakkan jawatan atau dipecat atau dihalang untuk melaksanakan tugasnya sepertimana apa yang termaktub dalam perlembagaan yang membolehkan beliau menyerahkan tugas kepada pemangku,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pas kawasan ini menjadi perhatian umum apabila mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man se­bagai Presiden parti itu untuk menentang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Wan Abdul Rahim yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dilihat menjadi tenaga penggerak utama GHB di negeri ini, malah sebelum gerakan itu dilancarkan beliau dilihat amat mesra dengan pemimpin DAP biarpun Pas tidak lagi bekerjasama dengan parti yang berteraskan kaum Cina itu.

Sumber itu berkata, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu tidak hadir dalam mesyuarat tersebut manakala Hamid diarahkan keluar sebelum keputusan itu dibuat.

“Takiyuddin dilantik oleh Wan Abdul Rahim sebagai AJK Pas kawasan selepas beliau tidak mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Kota Bharu dalam pemilihan baru-baru ini.

“Hamid merupakan seorang aktivis yang telah lama menyumbang tenaga kepada parti. Keputusan ini agak pelik kerana pas­tinya pengalaman Takiyuddin dan kedudukannya di Pas Pusat amat diperlukan untuk menguruskan perjalanan parti di kawasan de­ngan lebih baik,” katanya.

Utusan






3 Komen to Setiausaha Agong Pas, Takiyuddin dipecat.

  1. musanghitam says:

    Pas dah jadi parti koboi mabuk!

  2. raplahjingaa says:

    Apa pun berlaku dalam PAS bukan lagi news….

Leave a Reply