Menu Utama

Pengamal Media Perlu Adil.

Perbezaan Pendapat Boleh Asalkan Berasas Kepada Fakta – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perbezaan pendapat tidak menjadi masalah asalkan ia berasaskan kepada fakta yang benar dan bersifat konstruktif.

Bagaimanapun, beliau berkata ia menjadi masalah apabila ada pihak menyebarkan pendapat atau berita yang boleh menimbulkan keraguan sehingga mengurangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

“Selepas disemak rupa-rupanya (ada) pendapat itu tidak berasas atau meleset…Ini cabaran dalam persekitaran baharu terutama kepada pengamal media sebab mereka mengejar berita.

“Mereka mahu menjadi yang pertama dalam (menyiarkan) berita sebab (sesetengahnya) nak bentuk persepsi, bukan nak tentukan ketepatan berita, ia (ketepatan) seolah-olah soal kedua. Bila terbentuk persepsi nak kikis amat sukar sekali,” katanya.

Najib berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini Khamis malam.

Najib mengambil contoh pilihan raya umum lepas kononnya 40,000 pengundi Bangladesh menunggu untuk mengundi Barisan Nasional (BN) sehingga ada yang percaya dengan penipuan itu.

“Kalau nak bawa seramai itu perlukan 1,000 pesawat jumbo, tapi tiada orang tanya sehingga dah jadi viral dan menjejaskan nama baik BN,” kata perdana menteri.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Perdana menteri berkata penyebaran berita tidak berasas turut melibatkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kononnya menggunakan wang Tabung Haji untuk menyelamatkan syarikat itu.

“Cerita itu sampai ke bawah sehingga pendeposit Tabung Haji iaitu makcik dan pakcik di kampung semua marah. Ia turut diviralkan,” katanya.

Najib seterusnya berkata kebenaran akhirnya muncul sehingga ada anggota Parlimen pembangkang di Parlimen menggesa Tabung Haji supaya tidak menjual tanah yang dikaitkan dengan 1MDB kerana langkah itu boleh menjana untung lebih besar, namun sekali lagi kerosakan telah berlaku.

Sehubungan itu, Najib meminta semua pihak sama ada ahli politik, pihak kerajaan dan pengamal media supaya bertanggungjawab terhadap setiap penyebaran pendapat dan berita.

“Dalam politik kita mencari kebenaran jadi saya pun nak pihak media mendapatkan cerita sebenarnya. Berlaku adil, itu sahaja yang saya minta.

“Jika kita berpandu kepada kebenaran, Insya-Allah kita akan selamat dunia dan akhirat,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri meluangkan masa melawat bahagian editorial majalah dan Kedai Buku Karangkraf untuk melihat terbitan terbaharu kumpulan media itu.

Sejurus selepas berbuka puasa, Najib dan tetamu lain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih di Masjid Karangkraf.

— BERNAMA






3 Komen to Pengamal Media Perlu Adil.

  1. semangat dato' haron says:

    Najib adalah mangsa fitnah yg maha dahsyat.

  2. d'zeck says:

    PM ke 6 malaysia merupakan
    PM paling sukar kariernya memandangkan
    kemudahan teknologi internet yang semakin
    maju telah dieksploitasi
    sepenuhnya oleh pembangkang dari serata penjuru,
    dalam dan luar negara.

    Media yang masih mengutamakan etika dalam pemberitaan
    perlu menyokong penuh usaha melawan amalan menyebarkan
    pemberitaan yang bersifat spekulasi, melebihi fakta
    yang bersumber jelas.

    Mana-mana media yang dibuktikan wujud salah laku pula
    wajib dikenakan tindakan paling tegas sebagai pengajaran
    kepada yang lain.

Leave a Reply