Menu Utama

MH370: Malaysia Hantar Pasukan Untuk Pastikan Serpihan Milik MH370

Malaysia sudah mengirim satu pasukan pakar ke Pulau Reunion di Lautan Hindi untuk memastikan sama ada serpihan pesawat yang ditemui di sana, milik Malaysia Airlines penerbangan MH370.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan itu dianggotai pakar daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Malaysia Airlines dan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia untuk MH370.

“Kami juga berhubung dengan Biro Siasatan dan Analisis (BEA) iaitu agensi penyiasat kemalangan pesawat udara Perancis mengenai penemuan ini,” tambah kenyataan itu.

Dilaporkan serpihan daripada sayap pesawat itu dihanyutkan ke pulau tersebut awal pagi ini yang berkemungkinan milik MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada awal Mac tahun lepas.

Kementerian Pengangkutan berkata ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian sehingga terdapat bukti sahih serpihan tersebut milik pesawat yang hilang itu.

Kementerian itu menjelaskan ia akan membuat pengumuman sebaik semua bukti dapat disahkan.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pada 29 Jan tahun ini, DCA mengumumkan kehilangan pesawat itu sebagai kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa, dan semua 239 orang di dalamnya dianggap terkorban.

— BERNAMA






Leave a Reply