Menu Utama

Masa saya sudah berlalu – Shahrir Samad

“Saya tidak mahu menganggotai Kabinet, masa saya sudah berlalu, lagipun tanpa jawatan dalam Kabinet, saya boleh mainkan peranan dan menyumbang kepada negara.”

Itulah reaksi Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika diminta mengulas komentar Awang Selamat yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini kononnya nama beliau antara disebut-sebut akan dilantik sebagai menteri kanan jika berlakunya rombakan Kabinet selepas Aidilfitri ini.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berpendapat, adalah lebih baik sekiranya peluang yang ada itu diberikan kepada pemimpin muda.

“Saya berpendapat perlu beri peluang kepada orang muda untuk menjadi ahli Kabinet. Kalau saya masuk Kabinet, maknanya usia purata jemaah menteri dan timbalan menteri menjadi meningkat, sekarang sahaja usia saya sudah mencecah 66 tahun.

“Takkan masa akan datang Kabinet Malaysia disertai oleh orang tua-tua. Jadi, ada baik dan molek­nya jawatan tersebut dilantik dalam kalangan orang muda yang bertenaga, sarat dengan idea dan panda­ngan bernas. Pemimpin muda juga memahami cita rasa masyarakat yang sebahagian besar terdiri daripada generasi muda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau sebelum ini pernah menyertai Kabinet dengan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan pada 2008 hingga 2009 dilantik sebagai Menteri Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Sebagai orang tua, saya tidak perlukan jawatan, yang penting idea, pandangan dan gerak kerja kita adalah bersama-sama dengan kerajaan.

“Sejujurnya kini saya gembira dan seronok sejak tidak menjawat jawatan menteri. Kini saya tumpukan khidmat sebagai wakil rakyat Parlimen Johor Bahru serta selaku Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru,” katanya sambil mengakui menerusi BNBBC dapat membantu menyelaras 79 ahli Parlimen BN menentukan dasar dan strategi kerajaan dilaksanakan dengan berjaya.

Selain mengetuai BNBBC, Shahrir turut dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Penasihat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang menjadi pentadbir di Iskandar Malaysia.

Utusan






Satu Komen to Masa saya sudah berlalu – Shahrir Samad

  1. semangat dato' haron says:

    Inilah pemimpin sbnr. Dulu dia bertanding calon bebas pun menang kt Johor Bahru.

Leave a Reply

Threesome