Menu Utama

Kementerian Serius Laksanakan Pengasingan Sisa Pepejal – Rahman Dahlan

1. Saya merujuk kepada kenyataan menerusi media oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Datuk Seri Mohammad Hassan yang bertajuk ‘Kerajaan Negeri Kurang Setuju’ berhubung pelaksanaan pengasingan sisa pepejal secara mandatori kepada isirumah mulai September 2015 yang dianggap masih terlalu awal untuk dilaksanakan serta pengenaan denda sebanyak RM1,000 kepada masyarakat.

2. Pertama sekali saya menghargai ulasan dan cadangan oleh YAB Datuk Seri terhadap isu ini. Seperti yang YAB Datuk Seri sedia maklum, perlaksanaan program pengasingan sisa pepejal di punca akan dilaksanakan secara mandatori mulai September 2015. Saya beri jaminan kepada YAB Menteri Besar bahawa melalui perlaksanaan program ini, ia dapat membantu proses pengumpulan dan pengurusan sisa pepejal dalam negara menjadi lebih baik.

3. Di Malaysia, sebanyak 33,130 tan sampah dikumpul sehari dan Kerajaan memerlukan dana sebanyak RM 1.4 billion setahun untuk tujuan pengurusan sisa pepejal. Melalui perlaksanaan program ini, ia dijangka mampu mengurangkan 40% jumlah sampah yang dihantar di tapak pelupusan sampah, sekaligus dapat menambah jangka usia tapak pelupusan sedia ada. Justeru, program pengurusan sisa pepejal dari punca ini adalah sangat penting bagi memastikan sampah dapat diuruskan secara lebih efektif.

4. Pada peringkat awal pelaksanaan (September 2015 sehingga Mei 2016), tiada sebarang denda akan dikenakan kepada isirumah yang gagal mengasingkan sisa pepejal mereka. Sebaliknya mereka hanya akan diberikan notis amaran dan nasihat daripada anggota-anggota penguatkuasa SWCorp. Denda hanya akan dikenakan semasa peringkat kedua pelaksanaan mulai 1 Jun 2016.

5. Pada masa ini, pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dan sedang menjalankan pelbagai kempen kesedaran dan pendidikan awam secara berterusan menerusi pelbagai medium. Melalui usaha ini (KPKT) telah membelanjakan sebanyak RM 5 juta untuk memastikan kempen ini berjalan dengan lancar. Saya yakin dengan adanya pelbagai kempen ini, masyarakat akan lebih bersedia dan mengetahui bahawa proses pengasingan sisa di punca adalah mudah dan tidak merumitkan.

6. Pembudayaan 3R dan proses kesedaran masyarakat terhadap program ini memerlukan usaha yang berpanjangan. Justeru saya percaya program pengasingan sisa pepejal di punca perlu dimulakan daripada sekarang bagi membentuk dan mendidik sebuah masyarakat yang cintakan alam sekitar.






Satu Komen to Kementerian Serius Laksanakan Pengasingan Sisa Pepejal – Rahman Dahlan

Leave a Reply