Menu Utama

Kebenaran akan terbukti – Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan mengkhianati rakyat dan negara dan akan berusaha mencari jalan kebenaran dalam menangkis segala tuduhan dilemparkan terhadap kepimpinannya.

Najib berkata beliau berterima kasih terhadap sokongan diberikan oleh pemimpin UMNO dan juga oleh pemimpin tertinggi PAS, Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din yang menjelaskan tuduhan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sebagai tidak masuk akal.

“Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan cari (jalan) untuk tegakkan kebenaran, bertenang, kebenaran akan terbukti,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan Pelancaran program Al-Syahadah Al-Ulya Ulul Albab di sini, hari ini.

Beliau menyeru rakyat untuk bertenang serta bersatu dalam menangkis segala tuduhan terhadap kerajaan dan pemimpin negara walaupun mereka berbeza dari segi fahaman politik.

Menurutnya untuk membina sebuah tamadun yang maju, rakyat sesebuah negara itu tidak seharusnya berpecah-belah.

Semalam, Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan kononnya kira-kira US$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB telah disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata negara maju tidak akan memperlekeh negara ini jika rakyat mempunyai kekuatan iman dan takwa yang menjadi asas untuk membangunkan sebuah tamadun yang hebat lagi berjaya.

Beliau berkata untuk melahirkan generasi ulul albab, negara bukan sahaja perlukan generasi yang ada kekuatan fizikal malah juga kemampuan minda.

“Kita bukan sahaja mesti ada kekuatan secara peribadi, kekuatan yang terbit daripada keimanan dan ketakwaan mesti ada untuk melahir dan membangun sebuah tamadun yang hebat lagi berjaya, barulah kita boleh setanding dengan negara yang lebih maju daripada kita hari ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata Barisan Nasional (BN) Terengganu akan bersama-sama Perdana Menteri walau apa juga badai yang melanda dan sanggup menjadi barisan hadapan untuk mempertahankan cabaran politik negara ketika ini.

“Ini tempat kita, negara kita, tidak semudah itu orang luar mahu menghancurkan negara kita, apa yang berlaku adalah ujian untuk lebih hebat pada masa hadapan … memfitnah, memaki, berkata pedas … itu tanda Allah swt sedang menguji kita, sabar dan terima dengan hati yang reda,” katanya.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut.

Terdapat tujuh buah sekolah Imtiaz di Terengganu iaitu masing-masing sebuah di tujuh daerah.

Penubuhan sekolah imtiaz adalah hasil idea bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang kini Menteri Pendidikan Kedua pada 31 Mei 1996, kesinambungan daripada program “Pintar Qur’an” yang telah dilaksanakan di Besut.

Program Pengajian Al-Syahadah Al-Ulya Ulul Albab adalah satu program untuk melahirkan ilmuan Islam yang berpengetahuan tinggi dan luas dalam ilmu duniawi dan ukhrawi (Ulul Albab) dan ia merupakan program perintis di Malaysia.

— BERNAMA






2 Komen to Kebenaran akan terbukti – Najib

  1. Anti-Bulls says:

    Kebenaran? Dulu kata tak kenal? Nah kebenaranya..
    http://dinturtle.blogspot.co.uk/2015/07/pakej-percutian-rakyat-kam1m-4-hari-3.html
    Penipu!

Leave a Reply

Threesome