Menu Utama

Exco Pas sudah boleh ucap selamat tinggal!

TIGA Exco Pas dalam kerajaan PKR Selangor, iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib mungkin sudah boleh berkira-kira untuk mengemas pejabat masing-masing yang terletak di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Ini kerana khidmat mereka mungkin tidak diperlukan lagi apabila PKR dan DAP bakal menubuhkan pakatan pembangkang baharu yang akan disertai oleh Gerakan Harapan Baharu (GHB).

Penasihat DAP, Lim Kit Siang sendiri pun secara terbuka menyatakan yang Pas tidak akan dilibatkan langsung dalam pakatan baharu tersebut atas alasan menjadi punca ‘kematian’ pakatan pembangkang sebelum ini.

Lagipun, jawatan ketiga-tiga mereka boleh diisi oleh wakil rakyat Pas yang telah melahirkan kesediaan untuk lompat parti dengan menyertai GHB iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib atau mana-mana ADUN dari PKR mahupun DAP.

Sekiranya kesemua kemungkinan ini menjadi kenyataan maka Iskandar, Ahmad Yunus dan Zaidy sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Buat apa mereka berharap lagi kerana ketiadaan wakil rakyat Pas sekali pun tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan PKR Selangor sedia ada.

Dengan 13 kerusi PKR dan 15 kerusi DAP ditambah dua kerusi GHB (ADUN Morib dan ADUN Hulu Kelang) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah boleh membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Bagaimanapun, bagi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Jeffrizal Jaafar, sekiranya Mohamed Azmin Ali menggugurkan ketiga-tiga Exco Pas terbabit dan menggantikan dengan ‘geng GHB’, maka Menteri Besar Selangor itu telah mengkhianati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

“GHB merupakan satu cadangan parti baharu bagi menggantikan Pas kerana perselisihan antara Pas dengan DAP. Tetapi GHB bukanlah satu parti yang wujud sewaktu PRU-13 yang mendapat mandat daripada rakyat Selangor. Azmin tidak boleh membelakangkan rakyat yang memilih Pas sebagai sebahagian daripada parti yang mewujudkan penubuhan kerajaan negeri pasca PRU-13.

“Menteri Besar tidak boleh bermain silap mata dengan menggantikan Pas kepada GHB demi mengekalkan tubuh kerajaan negeri. Ini satu pengkhianatan kepada rakyat yang memberi mandat kepada Pas,” katanya.

Sewajarnya, katanya, Azmin membubarkan kerajaan negeri dan menyerahkan semula kepada rakyat bagi memberi mandat baharu kerana rakyat sudah serik dengan Langkah Kajang dan krisis Menteri Besar Selangor sebelum ini yang menyaksikan mereka dihidangkan dengan drama politik.

“Sepatutnya Menteri Besar memikirkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah kepada rakyat seperti menarik pelaburan jangka panjang bagi melonjak perolehan negeri seterusnya menyalurkannya kembali kepada rakyat. Atau mencari jalan penyelesaian terhadap isu air,” ujarnya.

Jika Pas masih merasakan mereka mempunyai tanggungjawab untuk memikul amanah rakyat, mungkin suda tiba masanya untuk merealisasikan penubuhan kerajaan bersama UMNO-Pas di Selangor yang pernah dicadangkan oleh penganalisis politik, Profesor Dr. Azizul Halim Yahya sebelum ini. Mereka boleh melantik bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini merupakan wakil rakyat Bebas sebagai Menteri Besar yang baharu untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri bersifat neutral.

Gabungan sebegini pernah dibuat oleh Parti Perikatan sebelum ini dan berjaya hingga negara mencapai kemerdekaan. Namun, Pas dengan 13 kerusi DUN (selepas dua wakil rakyat sertai GHB), UMNO 12 dan Bebas satu kerusi, belum cukup bagi mencapai majoriti mudah. Gabungan ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga lagi kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu. Yang menjadi persoalan, siapa dari PKR atau DAP yang sanggup menjadi pengkhianat kepada parti sendiri dengan lompat parti dan menyatakan sokongan kepada gabungan kerajaan bersama tersebut? Atau senario politik yang ‘panas’ ini akan kembali dingin apabila GHB dikatakan tidak mendapat sokongan daripada rakyat.

Seperti kata Iskandar yang merupakan Naib Presiden Pas dan Pesuruhjaya Pas Selangor, beliau tidak hairan jika pelancaran parti baharu yang diasaskan oleh GHB pada 14 September ini ditangguhkan sekali lagi selepas tertangguh sebanyak dua kali.

Malah beliau juga tidak terkejut jika penubuhan parti baharu itu dibatalkan dan kumpulan itu hanya bergerak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Walau apa pun, kita tunggu dan lihat sahajalah bagaimana mana berakhirnya permainan politik pakatan pembangkang ini.

Zabry Mohamad Madzlan
Utusan






6 Komen to Exco Pas sudah boleh ucap selamat tinggal!

  1. raplahjingaa says:

    Kebodohan PAS tak kan kemana…kita selesaikan ” kebodohan ” dalam UMNO dulu !

  2. GT86 says:

    Dari Putrajaya kembali ke Pekan

  3. itsme says:

    PAS hancur dahhh… yg tinggal UMNO, hebat LKS & LGE..

  4. gambus says:

    orang Islam tak sedar lagi , contoh tgk jee kawasan DUN Iskandar tu , tanpa undi cina dia takkan menang , undi Islam makin pecah .. kalau letak calon GHB gerenti dorang menang

    senang cite sebab 98% dah menolak BN , harap Najib dan pembelaa dia tak melompat kenyataan TSMY , itulah realitinya

  5. Pemerhati says:

    ‘pakatan rakyat’ tidak didaftar begitu juga dengan jangkaan bahawa ‘pakatan baru’ tidak akan didaftar…undang-undang tubuh negeri(Selangor) mengikhtiraf PKR, PAS & DAP dalam ‘pakatan rakyat’ sebagai gabungan parti politik yang sah(mendapat restu/perkenan Sultan) untuk mentadbir kerajaan negeri(Selangor)

    tidakkah menubuhkan ‘pakatan baru’ yang tidak melibatkan PAS bukan sahaja dilihat sebagai pengkhianatan kepada PAS malah telah membatalkan & mencabuli pengesahan termasuk perjanjian yang telah dibuat dalam undang-undang tubuh negeri(Selangor)? tidakkah apabila ‘pakatan rakyat’ dibubarkan, pengesahan termasuk perjanjian dalam undang-undang tubuh negeri telah menjadi terbatal & tidak sah?

    Sultan harus berlaku adil(tahu apa harus dilakukan) sekiranya PAS mengadu untuk mendapat pembelaan akan hal ini kerana parti & ADUN(dikecualikan 2 orang) mereka telah dikhianati oleh sekutu mereka iaitu PKR & DAP…mana boleh pengesahan termasuk perjanjian dalam dokumen penubuhan kerajaan negeri(Selangor) diubah sesuka hati mengikut kehendak PKR & DAP dengan membuang nama ‘pakatan rakyat’ & ‘PAS’ untuk digantikan dengan nama ‘pakatan baru’ & ‘GHB’ dimana PAS akan menjadi pembangkang bersama BN di Selangor

    agaknya ikut undang-undang ale uto mak-bapak lim kit siang & anwar, dokumen penubuhan kerajaan negeri(Selangor) boleh dengan mudah diubah sedemikian rupa & mereka rasa pentabiran kerajaan negeri(Selangor) akan terus berjalan lancar tanpa mempunyai sebarang masalah dengan undang2…apakah pengkhianatan kepada PAS tidak perlu diberi pembelaan mengikut undang2?

    bila khianat, jangan fikir kerusi DUN yang banyak(antara PKR & DAP) boleh membenarkan ‘pakatan baru’ untuk terus mentadbir kerajaan negeri(Selangor)…jika PAS dapat membuktikan di mahkamah pengkhianatan PKR & DAP itu benar-benar satu pengkhianatan serta telah membatalkan & mencabuli pengesahan termasuk perjanjian yang telah termaktub dalam dokumen penubuhan kerajaan negeri(Selangor) maka bertambah mudah buat Sultan untuk tidak teragak-agak membubarkan DUN supaya PRN dapat diadakan…pengkhianatan kepada PAS & ADUN(dikecualikan 2 orang) mereka juga merupakan pengkhianatan PKR & DAP kepada pengundi di Selangor yang telah mengundi ADUN PAS, oleh itu PRN harus diadakan untuk memberi pembelaan kepada pengundi yang rasa diri mereka telah dikhianati & dipermainkan oleh PKR & DAP

    senang cakap aku lebih suka melihat Sultan menggunakan kuasa prerogatifnya membubarkan DUN supaya PRN dapat diadakan tanpa menunggu PAS membawa kes mereka dikhianati oleh PKR & DAP ke mahkamah

Leave a Reply

Threesome