Menu Utama

PAU2014: Jangan Pancing Sokongan Orang Muda Dengan Jawatan Segera

Perhimpunan Agung UMNO 2014 (PAU2014) kali ini nampaknya memfokuskan isu penyertaan golongan muda dalam UMNO dalam usaha meremajakan parti keramat yang sudah berusia 68 tahun ini. Usaha yang cukup baik membuktikan keprihatinan UMNO terhadap kepentingan dukungan generasi muda untuk kelangsungan perjuangan parti.

Bagaimana pun haruslah diingatkan dalam pada UMNO begitu teruja mahu meraih sokongan generasi muda untuk meremajakan parti, gerak kerjanya ke arah itu tidak boleh gopoh sangat misalnya dengan mengumpan jawatan segera dalam parti atau sebagai calon pilihan raya hanya semata-mata mahu segera merealisasikannya.

Dalam hal ini UMNO tidak boleh gopoh atau terikut-ikut gerak tari DAP umpamanya yang memberi jawatan segera kepada Dyana Sofea sebagai Setiausaha Politik untuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang kemudiannya dalam usia setahun jagung diangkat pula sebagai calon payung terjun dalam PRK Parlimen Teluk Intan semata-mata mahu menonjolkan parti itu terbuka dan menjadi pilihan orang muda.

Kesannya seperti kita semua maklum bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang dalam DAP serta parti itu hilang penguasaan di satu kerusi Parlimen malah penyokong DAP sendiri mula meragui kredibiliti parti gara-gara mencalonkan seorang budak mentah yang tidak teruji dan tidak berpengalaman bagi mewakili parti.

Itu bukan contoh yang baik untuk menjadi pemimpin berkaliber bagi memimpin parti dan negara kelak. Walaupun ia nampak populis dan memberi nilai tambah sementara kepada DAP namun Pemuda UMNO atau Wanita serta Puteri UMNO tidak harus mencemburui kegopohan DAP dan jangan sesekali mengharapkan peluang segera yang sebegitu.Khairi Jamaluddin - Isu Sokongan Orang Muda

Perlu ada tertib dan kaedahnya yang tersusun, supaya kelak tidak timbul persepsi buruk yang mengatakan UMNO di sokong orang muda kerana terpaut pada umpan jawatan dan kesenangan semata-mata. Generasi muda yang mahu diketengahkan sebagai pelapis perlu tahan diuji dan diberi peluang menimba pengalaman dari bawah sebelum mendaki ke atas. Ada tertib dan fasanya.

Samalah keadaannya dengan fasa kehidupan kita atas dunia fana ini, kita lahir sebagai bayi menjadi kanak-kanak kemudian menuju alam remaja. Dari situ kita mengutip pengalaman untuk menjadi orang muda seterusnya menjadi dewasa dan ibu bapa kepada anak-anak kita pula. Fasa demi fasa kita lalui adalah untuk mematangkan kita. Demikian halnya dalam hal kepimpinan parti dan negara.

Untuk itu saranan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam ucapannya sempena perasmian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO malam tadi yang telah menggariskan 7 langkah penting bagi melengkapkan perubahan dan peremajaan UMNO sekali gus merealisasikan usaha menjadikan parti ini sebagai pilihan orang muda wajar dikuti.

Ketujuh-tujuh langkah pembaharuan itu merangkumi usaha melahirkan pemimpin muda berwibawa, pencarian bakat muda, mewujudkan modul perkaderan & tarbiyah, menyemarakkan semangat sukarelawan, menubuhkan institusi naziran, menggerakkan revolusi mental dan terakhir sekali membangkitkan gerakan kesedaran nilai undi di kalangan generasi muda.

Langkah demi langkah yang disarankan itu jika dapat digerakkan dan dijayakan ianya boleh mematangkan seseorang ahli UMNO dari golongan muda dan berupaya melahirkan pemimpin pelapis yang berwibawa, berkaliber dan ada jati diri serta teruji untuk terus memperjuangkan aspirasi parti kemudian hari nanti. Ini yang kita mahukan dan ini yang harus UMNO fokuskan.

Gerak kerja tersusun sedemikian jauh lebih baik impaknya berbanding memancing sokongan dengan memberi jawatan segera. Perjuangan Alif, Ba, Taa yang menjadi denyut nadi UMNO tidak memerlukan orang muda yang gila populariti atau menyertai UMNO dek kerana tarikan jawatan dan kesenangan segera.

Pun begitu sebelum usaha-usaha perubahan meremajakan UMNO dapat dilaksanakan, di pihak Pemuda dan Puteri UMNO perlulah menggandakan usaha mendekati generasi muda dan bergerak aktiflah dengan menyediakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kepimpinan baik di IPT, kawasan perumahan di desa dan bandar dengan disertai program penerangan yang bersesuaian.

Mendampingi golongan ini sekerap mungkin tanpa mengambil kira taraf kedudukan mereka merupakan komunikasi terbaik untuk menarik perhatian generasi muda apatah lagi kalau disertakan dengan penjelasan santai berkaitan isu-isu berbangkit yang membelenggu fikiran mereka.

Demikian juga keaktifan pimpinan Pemuda dan Puteri UMNO di alam maya dalam menyanggah propaganda pembangkang demi mempertahankan wibawa parti dan kerajaan juga perlu dilipatgandakan. Orang muda mahu baca dan dengar sendiri apa hujah Pemuda dan Puteri UMNO kerana dari situ barulah mereka boleh membuat penilaian sama ada tertarik bersama UMNO atau sebaliknya.

Percayalah Pemuda dan Puteri UMNO mempunyai asas dan jaringan yang kukuh untuk menjayakan semua usaha ini. Kelebihan ada di tangan kita maka manfaatkannya untuk kepentingan UMNO. Tinggal lagi ia hanya memerlukan kesungguhan dan komitmen berterusan untuk menggerakkannya dan bukannya sekadar retorik di pentas perhimpunan semata-mata.






2 Komen to PAU2014: Jangan Pancing Sokongan Orang Muda Dengan Jawatan Segera

  1. kulaan says:

    Tak perlu umpan jawatan. Buka pendaftaran secara online dan komunikasi berterusan dengan ahli secara media social sahaja sudah cukup baik buat masa ni…

  2. samad says:

    sepatutnya setiap cawangan perlu ada unit komuniti siber sendiri. gerakan golongan muda perlu diterapkan kepada pengurusan maklumat dan aktiviti setempat.

    di sini setiap bahagian perlu ada unit pemantauan aktiviti dan sebaran maklumat setiap cawangan bawahan.

    setiap golongan umur ada konteks aktiviti sendiri. Fokus kepada aktiviti belia nescaya akan ramai golongan muda yang menyokong UMNO.

Leave a Reply