Menu Utama

Melayu, Fikirkan Masa Depan Bangsa Mu!

Setiap orang Melayu, apatah lagi anggota Umno, mesti berterus terang dan jujur merenung masa depan yang akan mereka persiapkan untuk anak cucu mereka.

Orang Melayu dan bumiputera, yang merangkumi kira-kira 67 peratus penduduk majoriti Malaysia, mestilah menerima hakikat bahawa bangsa ini sedang berada di persimpangan amat getir.

Berlatarbelakangkan landskap politik semasa, kaum ini yang terbahagi kepada tiga kelompok parti utama iaitu Umno, PAS dan Parti Keadilan Rakyat mestilah berpijak di bumi nyata dan memikirkan di manakah kedudukan kuasa politik yang semakin menyusut pada masa akan datang.

Perhimpunan Agung Umno 2014, yang bermula hari ini sehingga Sabtu, menjadi medan terbaik seluruh orang Melayu, bukan sahaja 3.5 juta anggota parti, untuk menilai perkara berkaitan bangsa Melayu termasuk Islam, pendidikan, ekonomi dan sosial.

Menjelang perhimpunan Umno dan ketiga-tiga sayapnya, yang dihadiri 5,739 perwakilan, Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata anggota parti mesti bermuhasabah, mengkaji kelemahan dan kekuatan diri dan bermuafakat merencana langkah drastik memperbaiki kedudukan.

Katanya sebagai parti yang ditubuhkan dengan asas perjuangan untuk bangsa, agama dan tanah air, anggota Umno mesti terus bermuafakat, terus beri pandangan, terus berusaha mewujudkan barisan pelapis kepimpinan agar parti menjadi kuat, disegani dan dihormati.

“Perhimpunan agung parti menjadi medan untuk anggota Umno dan orang Melayu menilai diri apakah cukup sudah pengorbanan dilakukan, benar-benar mengamalkan ajaran Islam dan apakah yang telah dilakukan untuk mempertahan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Berpegang teguh dengan cogan parti “Bersatu Bersetia Berkhidmat”, Badruddin yang pernah menjadi wakil rakyat selama empat penggal berkata anggota Umno mesti merapatkan barisan dan saling tegur-menegur memperbaiki kelemahan di setiap peringkat.

“Organisasi perjuangan tidak akan kukuh jika tidak bersatu dan bangsa Melayu lemah jika tidak bermuafakat,” katanya tegas.

Bagi orang Melayu di luar sana, sama ada yang berparti atau tidak, fikirkanlah dan nilai apakah dengan memaki hamun, menghina bangsa seagama, menghina Umno ini menguatkan bangsa?, kata veteran Umno yang mengabdikan diri selama 40 tahun bersama parti.

Tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain, beliau berkata anggota Umno tidak perlu apologetik untuk membincangkan isu-isu semasa seperti cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948, isu pendidikan termasuk sekolah vernakular, isu berkaitan Islam yang menjadi agama 61.3 peratus rakyat Malaysia, dan ekonomi bumiputera.

“Inilah platformnya, medan untuk orang Melayu berbincang mengenainya mengikut lunas-lunas perlembagaan. Kalau kita tidak boleh bercakap di sini (Perhimpunan Agung Umno), forum apa lagi yang boleh bincang tentang hak Melayu?,” katanya.

Badruddin, yang akan mempengerusikan perhimpunan buat kali keenam, mengingatkan perwakilan yang akan berucap supaya tertib dan membuat teguran dengan berhemah tanpa sesekali mengaibkan mana-mana pihak.

Acap kali dipilih menjadi perwakilan Kedah untuk berbahas di perhimpunan agung parti sebelum ini, Badruddin yang sering berlawak, membuat sindiran dan cerita-cerita lucu berkata perwakilan tidak perlu bernada keras dan lantang untuk menegur pemimpin parti.

“Ibarat sindir anak pukul menantu, cara ini lebih sopan daripada menghentam pemimpin yang telah kita pilih untuk berada di atas,” katanya menyudahi perbualan.

BERNAMA






2 Komen to Melayu, Fikirkan Masa Depan Bangsa Mu!

  1. kulaan says:

    Buka peluang seluas-luasnya kepada rakyat untuk jadi ahli. Kalau tidak usah haraplah UMNO nak pulih.Nak daftar ahli secara online tanpa kelulusan ketua bahagianpun tak boleh? Takkan kuasa najib lebih rendah daripada ketua bahagian?

  2. Jambol says:

    SELAMA LEBIH 50 TAHUN, UMNO TELAH BANYAK BERJASA KEPADA SEMUA KAUM BUKAN-BUMIPUTERA DI NEGARA INI, TERUTAMANYA KAUM CINA. SUDAH SAMPAI MASANYA MEREKA INI MENGENANG DAN MEMBALAS BUDI UMNO !!!

    Selagi UMNO “meminta sedekah” undi Cina, selama itulah UMNO akan dipandang rendah. Kenapakah UMNO perlu melutut menagih undi mereka. Perangai UMNO sekarang ini dan selama ini tidak memerlukan mereka mengundi UMNO. Walaupun mengundi DAP, mereka tetap mendapat kemudahan dan menjadi kaya raya.

    Fikirkan lah betul-betul. Sudah sampai masanya UMNO melaksanakan strategi yang berkesan secara SENYAP, KERAS, BERANI dan TEGAS !!! Take it or leave it, baru mereka tahu.

Leave a Reply

Threesome