Menu Utama

Dewan Rakyat Lulus Kertas Putih Ke Arah Tangani Ancaman IS

Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’, dengan jaminan kerajaan undang-undang baharu bagi menangani kegiatan kumpulan itu akan memberi penekanan terhadap aspek pencegahan dan pembanterasan.

Ini dinyatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa menggulung perbahasan usul berkenaan.

“Saya ingin beri jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengikut acuan perundangan negara lain jika mahu mewujudkan akta antikeganasan, walaupun hakikatnya enam negara di dunia telah mewujudkan akta seperti itu,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meluluskan usul yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, selepas mendapat lebih suara menyokong, berbanding membantah.

Enam anggota Parlimen, masing-masing tiga daripada Barisan Nasional (BN) dan tiga pembangkang membahaskan usul Kertas Putih itu yang menjelaskan mengenai bahaya IS dan tahap ancaman kepada keselamatan negara.

Ketika membentangkan usul itu pagi ini, Najib berkata kerajaan mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan pengganasan yang akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Ketika membahas usul berkenaan, anggota-anggota Dewan termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) menyokong dan menyambut baik usul berkenaan.

Anwar berkata undang-undang baharu itu harus tegas dalam usaha menangani permasalahan pengganas dan tidak digunakan untuk kepentingan politik.

Beliau turut meminta kerajaan memberi penjelasan lebih teliti mengenai kegiatan militan, terutama mengenai IS.

Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) pula meminta kerajaan mengembalikan penahanan tanpa bicara kerana undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) tidak cukup untuk menangani isu berkenaan.

“Untuk jaga keselamatan dalam negara, walau apapun kita kena kembalikan tangkap tanpa bicara. Walaupun hari ini kita ada SOSMA dan POCA, tapi ini tidak cukup untuk atasi masalah pengganas,” tegas Noh.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu sidang media kemudian bahawa kebanyakan rakyat tempatan yang terlibat dengan kegiatan militan melahirkan kekesalan terhadap perbuatan mereka.

“Mereka ini ada yang telah kembali ke tanah air dan penahanan telah dibuat. Daripada maklumat yang kami kumpulkan, mereka semua nyata tertipu dengan dakyah yang dibuat oleh individu yang merekrut mereka. Semuanya ternyata indah khabar daripada rupa,” katanya.

Jelasnya, mana-mana individu yang ditahan tetap akan didakwa di mahkamah di bawah SOSMA biarpun mereka menyesal dan berikrar tidak mengulangi kesalahan mereka.

Tambah Ahmad Zahid, pasport mereka yang terlibat juga telah dibatalkan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menolak andaian akan wujud salah guna kuasa berhubung undang-undang yang bakal digubal untuk menangani kegiatan militan dan keganasan.

Tegasnya, dakwaan itu tidak berasas kerana tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk menangani dan mengelak kegiatan keganasan membabitkan rakyat Malaysia.

“Jangan ada kekhuatiran berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana menteri yang diberi tanggungjawab mengendalikannya,” katanya. – BERNAMA

— BERNAMA






Leave a Reply