Menu Utama

Sambutan Dingin Penyokong PAS Petanda Keretakan Kerjasama PR

Sehari sebelum perbicaraan rayuan terakhir Anwar Ibrahim berhubung kes meliwat bekas pembantunya sendiri berlangsung di Mahkamah Persekutusan Putrajaya, pakatan pembangkang telah mengadakan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat khusus untuk menghadapi sebarang kemungkinan hasil dari perbicaraan itu kelak.

Menariknya mesyuarat yang diadakan di Pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen pada 27 Oktober 2014 itu berlangsung tanpa kehadiran Presiden PAS seakan-akan mengiakan khabar angin sebelum ini yang menjangkakan Abdul Hadi Awang tidak akan hadir atau dengan kata lain ‘tak sengaja’ memboikotnya.

Apa yang berlaku itu seperti mencerminkan sikap dan pendirian Hadi yang tidak lagi ambil peduli dengan permasalahan peribadi yang sedang membebani masa depan politik Anwar. Secara tidak langsung membayangkan keretakan hubungan dan kerjasama sesama pemimpin utama PR.

Impak dari ketidakhadiran Hadi dalam mesyuarat tersebut kemudiannya dapat dilihat dengan jelas pada hari pertama perbicaraan kes liwat Anwar di Putrajaya apabila kelibat penyokong PAS sukar untuk ditemui malah anggota Unit Amal PAS juga tidak kelihatan mengawal peserta himpunan menyokong Anwar.

Ia kemudiannya melarat ke hari kedua apabila hanya segelintir sahaja penyokong PAS yang kelihatan di himpunan Rakyat hakim Negara bersama beberapa pemimpin parti itu yang diketahui umum merupakan geng Anwarinas seperti Khalid Samad, Husam Musa dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat.

Dingin sekali sambutannya seperti memberi petanda kerenggangan hubungan antara PAS dengan PKR. Sedangkan selalunya sebelum ini dalam apa jua himpunan dan demonstrasi jalanan yang dianjurkan, pemimpin PAS tanpa mengira puak dari pelbagai peringkat bawah hingga Presiden parti senantiasa ada memeriahkan suasana diiringi ribuan penyokongnya walau di mana-mana sahaja ia diadakan.

Kali ini tanpa kelibat mereka himpunan yang berslogankan Rakyat Hakim Negara itu menjadi hambar dan tak bermaya. Jangan kata nak menandingi kehebatan gerakan jalanan sepanjang zaman reformasi 1998/99, nak cecah angka seribu peserta setaraf perhimpunan mingguan pelajar sekolah menengah pun tak kecapaian.

Mungkin hari ini yang masuk hari ketiga perbicaraan dan hari keputusan esoknya suasana akan sedikit meriah kalau-kalau usaha kerahan tenaga saat akhir oleh PKR dan segelintir pemimpin PAS Anwarinas membuahkan hasil, namun bila dari awal lagi ia sudah dingin memang sukar untuk pecah rekod kehadiran di zaman reformasi terlepas kerusi penghujung tahun 1990-an dulu.

Berdasarkan senario ini kita sudah boleh membuat andaian kemungkinan kini semakin ramai khalayak yang dulunya tegar berdiri di belakang Anwar kian jelik dan muak melayan pelbagai teori konspirasi basi yang diulang-ulang cerita seolah-olah hanya Anwar sahaja yang betul semuanya.

Bukan orang ramai tak tahu individu yang dikaitkan dengan kes liwat Anwar merupakan orang yang rapat dan dikenalinya. Saiful misalnya pembantu peribadi yang dipilihnya sendiri, Sukma yang lembut dan Azizan yang nampak keras tapi sedikit lembut dalam kes liwat terdahulu pula adik angkat Anwar dan pemandu peribadi kepada isterinya sendiri.

Ia sebenarnya lebih kepada masalah peribadi disebabkan hubungan kontroversi dan sepatutnya tak timbul langsung soal konspirasi itu ini.

Barangkali memikirkan asas itulah yang membuatkan orang ramai terutama sekali penyokong PAS menjadi muak dan enggan meramaikan himpunan tersebut. Kalau tidak pun mungkin juga disebabkan tempias krisis perebutan jawatan MB Selangor dan kepelikan di sebalik Langkah Kajang yang menjadi antara punca sebenar batang tubuh Anwar saban hari kian kurang digemari ramai khalayak.

Atau tidak salah juga dikatakan suasana hambar serba suram ini ada kaitan langsung dengan sikap busuk hati PKR yang tidak henti-henti membuli PAS termasuk memprotes kegagalan Anwar mempengaruhi bekas calon PKR DUN Bukit Besi dari terus menyaman Presiden PAS dalam kes fitnah mengedar pil kuda.

Mana-mana satu andaian di atas ada logiknya dan pastinya Anwar sendiri dapat merasakan perbezaan nyata di mana harga dirinya yang dulu jauh bezanya dengan sekarang. Dulu penyokong pelbagai parti pembangkang bergabung tenaga demi kerananya, kini mereka menyepikan diri juga disebabkannya.

Justeru itu tidak mustahil kalau dibuat kesimpulan di sebalik kedinginan dan suramnya himpunan sempena perbicaraan rayuan terakhir Anwar ini, ia sebenarnya adalah manifestasi bibit-bibit keretakan hubungan sesama PR yang hanya menanti detik waktu untuk kerjasama longgar itu akan sampai jua ke penghujungnya.






5 Komen to Sambutan Dingin Penyokong PAS Petanda Keretakan Kerjasama PR

  1. semangat dato' haron says:

    X Yah dok peduli Anwar, dia dh konpem ke penjara. Lebih baik fokus tentang isu dlm UMNO. Pembangkang dh mula memindahkan pengundi dari kawasan kubu kuat mereka di bandar ke kawasan bercampur atau semi bandar. Kalo kita x wat apa2 skrg utk memulihkan sokongan di bandar akibatnya tidak mustahil kita kehilangan kuasa di PRU14. Kelemahan pembangkang tidak akan membawa apa2 tambahan undi pada BN. Pengundi bandar mungkin meluat dgn pembangkang tp tidak ada usaha ampuh dari BN utk memenangi undi mereka semula.

  2. GT86 says:

    Betul lah tu….Tapi apa Najib peduli. Ada KJ peduli? Yang penting pencapaian diutamakan. Imej peribadi di dahulukan.
    Kalau kalah PRU 14 pun, apa kerugian diaorang? Lari ke oversea, tak rasa apa-apa.

  3. terangsang says says:

    baru bijak sikit politik pas kalau pandai buat pemutihan dalam pas sendiri. bo bo la asyik nok buruk orang islam sendiri. aku masih terkesima sampai sekarang belum ada fatwa boleh diterima atau tidak vedio sex yang disahkan tulin buatanya dan tulin pelakunya sebagai bukti di mahkamah. pas ni jika fikir orang Islam partinya cuma pas sahaja insyakAllah Allah yang akan kalahkan kamu. sombong yang sudah melampau batas.adakah pas hendak mempertikaikan Allah yang memberi akal kepada manusia untuk bebas berfikir? Memilih jalan yang terbaik untuk mendapat reda Allah.lebih baik bersangka baik sesama manusia dan kepada Allah. kepada Allah kita berserah.

  4. kulaan says:

    Aku setuju dengan 2 komen di atas. Apa najib peduli dengan rakyat. Cakap ya, tapi buat lain. rentikanlah idea-idea mengarut subsidi minyak ikut gaji. Nampak gayanya Mat Indon dan bangla kompem mewah dapat subsidi. hangpa tengok..Kalau peniaga Melayu nak meniaga, macam-macam syarat ketat dan siap angkut barang lagi..tapi bila bab pendatang asing..siap ada tempat Khas untuk mereka lagi dan namakan pasar mereka lagi..

Leave a Reply