Menu Utama

Polis Perak Sanggah KDN dan Utusan Malaysia

Akhbar Utusan Malaysia, Kementerian dalam Negeri (KDN) dan Polis Perak kelihatan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu jenayah terancang di Kuala Sepetang, Bukit Gantang apabila Polis negeri menafikan aktiviti jenayah berleluasa seperti didedahkan oleh Utusan Malaysia dalam dua siri laporan khas sejak Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis nege­ri, Datuk A. Paramasivam yang memang­ku jawatan Ketua Polis Perak sejak Khamis lalu berkata, hasil mesyua­rat dijalankan oleh pi­hak­nya semalam merumuskan, kejadian jenayah di kawasan itu tidak begitu membimbangkan apatah lagi digeruni.

Beliau berkata, perkara itu berikutan tiada sebarang laporan ugutan membabitkan mafia dilaporkan oleh para pelancong di kawasan Kuala Sepetang yang terkenal sebagai pusat ekopelancongan.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan bunyi tembakan seperti yang didakwa. Sepanjang 2012 hingga 2014, hanya satu kes bunuh dilaporkan di kawasan Sungai Sepetang melibatkan seorang lelaki Cina yang dijumpai terapung di pinggir laut. Lima individu ditahan untuk siasatan tetapi tidak mempunyai keterangan mencukupi bagi dibawa kepada pertuduhan.

“Tiada jenayah ugutan senjata, penggunaan senjata api juga tidak signifikan. Pelacuran tiada tangkapan. Dadah pula, 61 kes melibatkan pelbagai tangkapan. Kes penyeludupan di bawah polis marin untuk 2014 ada 36 kes.
“Sementara itu, tindakan ke atas kegiatan perjudian haram pula ada 18 serbuan,” katanya sambil berulang kali menegaskan tiada kegiatan mafia sepanjang sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan tiga kawasan iaitu di pekan Kuala Sepetang, Pulau Kuala Sangga dan Perkampungan Tersusun Bagan Panchor Tambahan, antara lain didakwa menjadi lubuk jenayah termasuk penyeludupan dan pengedaran dadah, senjata api, rokok, pendatang asing tanpa izin (PATI) selain pencerobohan tanah secara besar-besaran.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui tentang kebenaran pendedahan itu telah mengarahkan tiga pasukan elit polis iaitu Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (Sting), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan pasukan taktikal jabatan siasatan jenayah untuk bertindak.

Pekan Kuala Sepetang dan Pulau Kuala Sanggar terletak di bawah Balai Polis Kuala Sepetang dalam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Sebahagian kawasan Bagan Panchor pula terletak di bawah Balai Polis Padang Gajah, IPD Taiping sementara selebihnya melibatkan Pantai Remis di bawah IPD Manjung.
Dalam pada itu, Paramasivam bagaimanapun tidak menafikan wujud kegiatan kongsi gelap melibatkan jenayah penyeludupan di kawasan Kuala Sepetang.

Selain itu, beliau turut mengakui bahawa Kuala Sepetang telah berubah biarpun pernah dikuasai oleh kumpulan gengster ‘Raja Laut’ sekitar tahun 1970-an.

“Saya tidak boleh menjanjikan berlakunya sifar jenayah (di Kuala Sepetang) kerana saya tahu itu mustahil. Apa yang saya cakap adalah benar dan saya tidak menyembunyikan sebarang statistik.

“Berikutan laporan yang telah disiarkan di akhbar, ketua kampung berkenaan telah membuat satu laporan polis semalam dengan menyatakan artikel tersebut adalah tidak berasas selain membawa spekulasi negatif terhadap bidang ekopelancongan di Kuala Sepetang sekali gus dikhuatiri bakal menjejaskan perniagaan mereka,” katanya.

Namun begitu, kira-kira dua jam selepas sidang akhbar itu, menerusi satu nota pesanan WhatApps kepada semua media, Paramasivam menambah kenyataannya dengan berkata, pihak polis sedang menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua aktiviti penyelewengan di Kuala Sepetang.

Menurut beliau, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik serta Ketua-Ketua Polis Daerah telah diarah untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya juga memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya pada pihak polis. Amaran kita kepada individu atau sindiket tersebut, polis akan mengambil tindakan,” katanya.

MYKMU/Utusan Malaysia






8 Komen to Polis Perak Sanggah KDN dan Utusan Malaysia

  1. Uturn says:

    pelik betul la kalau kdn dgn pdrm perak bercanggah. apa pun mesti siasat dan ambil tindakan sekiranya aduan tersebut benar.

  2. raplahjingaa says:

    Tak payah lah nak sanggah…cuba KDN hantar pegawai Bukit Aman pi ” lepak-lepak ” kat IPD Taiping dan IPD Manjung, kalau ada masa pi singgah kat Kuala Sepatang, tengok orang jenis mana yang port kat situ, ada yang sepatah haram cakap melayu pun tak tau..

  3. rigger says:

    Kena payung baik punya polis perak. Berapa ekor lembu dok bagi susu sampai kenyang depa semua. Datuk seri zahid kena banteras semua ni. Biar rakyat ingat sampai bila bila yg zahid hamidi adalah menteri kdn yg telah menghapuskan korupsi dalam semua jabatan.

  4. korokstabang says:

    di harap pihak kdn turut menghantar pegawai tinggi pasukan unit elit bagi mengetuai kesemua operasi tanpa melibatkan pegawai polis negeri kerana di khuatiri berlakunya sebarang kebocoran maklumat sehingga menggagalkan operasi

  5. Panglima Jati says:

    Kemungkinan polis belum dapat maklumat lagi dan perlu menjalankan risikanya tapi jangan Lah terus nafi siasat dahulu.

  6. WTF says:

    It’s about time, PDRM ada unit Internal Affairs sepertimana yg ada dalam NYPD bagi menyiasat secara internal kes salah laku anggota polis Malaysia!!!

  7. t says:

    Kenapa begitu cepat pemangku kp perak menafikanya…..ada apa apa ke?….perak ni dari dulu lagi tempat gengster bermula sampaikan kp pun pernah mati ditembak.Manjung juga tidak tekecuali banyak kegiatan haram jadah.ceroboh hitan bakau untuk kolam udang…lihatlah risab singai habis ditebang.Ada bapak gengster kat sana.

Leave a Reply