Menu Utama

KDN Cadang Wujud Akta Baharu Perangi Keganasan

Kementerian Dalam Negeri bercadang memperkenal akta baharu bagi memerangi kegiatan keganasan, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata akta yang dicadang akan memperkuatkan lagi undang-undang sedia ada iaitu Akta Kesalahan, Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Poca).

“Dengan pengwujudan satu undang-undang baharu, maka ia bukan sahaja dapat membanteras malah akan mencegah pengrekrutan bakal sukarelawan jihad ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Gempur MAGIC anjuran Majlis Belia Selangor dan Biro Tata Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata penularan aktiviti kumpulan militan Islam di negara ini perlu dibendung segera terutama apabila terdapat cubaan merekrut pelajar sekolah menerusi laman sosial.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Unit Pemantauan Media Sosial Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau laman sosial bagi mengekang kegiatan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama dengan ATM juga akan diteruskan untuk berkongsi maklumat jika sarang latihan merekrut militan diwujudkan.

“Kita yakin dapat menangkap lebih ramai lagi dan mengumpul maklumat yang selama ini amat diperlukan bagi menentukan Malaysia tidak dijadikan sarang latihan ‘jihadist’ untuk dihantar ke Syria, Iraq dan negara berkaitan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pertemuan antara Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan Barisan Pembebasan Islam Moro(MILF) juga diharap dapat menyelesaikan permasalahan di selatan Filipina terutama Mindanao sekali gus mengurang atau menyelesaikan masalah pengrekrutan sukarelawan jihad.

Mengulas Kedutaan Amerika Syarikat yang dikatakan memberi tekanan kepada Malaysia untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948, beliau berkata mereka harus menghormati sistem politik dan perundangan negara ini.

“Mereka mesti tahu daripada komitmen kerajaan dan kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga jelas. Mereka tidak harus beri tekanan kepada kerajaan, apalagi memihak kepada mana-mana kumpulan untuk mengatakan penghapusan satu-satu akta itu adalah terlalu lewat atau tidak diadakan,” katanya.

Dalam perkembangan, lain Ahmad Zahid berkata operasi membanteras kegiatan haram sindiket berpengaruh di perkampungan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Kuala Sangga di Perak, yang didakwa menjadi lubuk jenayah, akan terus diperhebat.

Kementerian Dalam Negeri, melalui Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc), Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) dan Skuad Taktikal Khas serta kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pasukan keselamatan lain, akan memberi tumpuan kepada kawasan itu.

“Mereka bukan sahaja tangkap ikan tetapi ada kemungkinan melakukan penyeludupan barangan dari luar negara tanpa cukai. Ada kemungkinan mereka seludup senjata atau dadah dari luar negara menggunakan awak-awak dari negara luar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata meskipun APMM kerap melakukan operasi membanteras kegiatan haram di perkampungan nelayan, anggota sindiket itu dapat memboloskan diri daripada pihak berkuasa.

Beliau mengulas laporan akhbar pada Ahad berkaitan kawasan yang didakwa menjadi lubuk jenayah dan ‘kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa.

Bernama






3 Komen to KDN Cadang Wujud Akta Baharu Perangi Keganasan

  1. Uturn says:

    Akta ini perlu diadakan dgn segera sebelum melarat.

  2. raplahjingaa says:

    Ahmad Zahid ni pun satu…bukan dia tak tau apa yang berlaku di kuala Sepetang sejak berpuluh-puluh tahun lalu tanya orang perak, semua orang tahu tempat tu kawasan hitam…apasal baru sekarang nak bertindak ??

Leave a Reply