Menu Utama

Komunikasi Akhir #MH17: Romeo November Delta, Malaysian one seven

Transkrip komunikasi radio dan telefon pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 menunjukkan “Romeo November Delta, Malaysian one seven” menjadi transmisi radio terakhir daripada kokpit pesawat itu, yang terhempas pada Julai lepas.

Transmisi berikutnya menunjukkan para pengawal trafik cuba berkomunikasi dengan pesawat itu, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 298 orang, tetapi gagal.

Transmisi radio terakhir oleh anak kapal direkodkan pada jam 13.19:56 UTC (waktu universal selaras) dan berakhir pada jam 13.19:59, menurut laporan awal mengenai nahas 17 Julai itu yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda pada Selasa.

“Sejurus selepas jam 13.20, radar (awasan kawalan trafik udara) Ukraine dan Persekutuan Rusia terputus hubungan dengan pesawat itu,” kata laporan itu.

Sebelum nahas pesawat itu, Penerbangan MH17 adalah di bawah kawalan pusat kawalan trafik udara (ATC) Dnipropetrovs (Dnipro Radar).

Menurut laporan itu, Dnipro melakukan transmisi radio kepada Penerbangan MH17 bermula pada jam 13.20:00.

“Pada jam 13.20:00, Dnipro membenarkan Penerbangan MH17 untuk terbang terus ke titik laluan TIKNA…kebenaran ini tidak dibaca semula,” kata laporan itu.

Laporan itu menyatakan anak kapal tidak memberi respon kepada transmisi itu atau transmisi berikutnya.

Dari waktu itu sehingga jam 13.35:50, Dnipro Radar menghubungi MH17 beberapa kali namun tidak menerima sebarang jawapan.

“ATC tidak menerima sebarang mesej kecemasan daripada pesawat itu pada bila-bila masa pun,” kata laporan itu.

Komunikasi antara pengawal trafik udara Dnipro dan Rostov menunjukkan mereka tidak menerima sebarang respon lagi daripada pesawat Boeing 777-200 itu selepas transmisi radio terakhir itu.

Menurut laporan itu anak kapal pesawat lain yang melalui kawasan itu turut ditanya jika ada ternampak MH17 atau ia boleh dilihat dari pesawat mereka.

Namun, anak kapal pesawat berkenaan memberitahu mereka tidak nampak MH17.

Transkrip itu juga menunjukkan pengawal trafik udara di Dnipro pada satu ketika berkomunikasi dengan rakan sejawatannya di Rostov: “Ya, ia (MH17 telah) hilang.”

Laporan itu menyatakan MH17 terbang di ruang udara yang tanpa sekatan.

Kesemua penumpang dan anak kapal MH17 termasuk 43 rakyat Malaysia terkorban dalam tragedi itu.

–BERNAMA






Satu Komen to Komunikasi Akhir #MH17: Romeo November Delta, Malaysian one seven

Leave a Reply

Threesome