Menu Utama

PAS Tidak Peduli Laporan 91 Mukasurat PKR Dan Tetap Sokong Khalid Ibrahim

Perkembangan terbaru di Selangor semakin mengasyikkan dan semakin melekakan. Kalau zaman dahulu, situasi sekarang, samalah seperti bentang tikar mengkuang dengan semangkuk bihun, bersila ramai-ramai di hadapan skrin wayang pacak Jabatan Penerangan di tengah padang sementara menantikan pemutar filem Jabatan Penerangan menayangkan propaganda kerajaan dengan berselang-selikan filem-filem popular.

Apa yang berlaku di Selangor sekarang, samalah seperti WAYANG MASUK KAMPUNG. Semua orang kampung sudah boleh bersila dan berdoa agar hujan tak turun atau ribut tak melanda supaya kain putih yang jadi layar wayang yang dipasang pada dua batang tiang buluh, tidak tercabut.

Menjelang pendengaran kes melibatkan Anwar Ibrahim yang telah dijatuhi hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Rayuan pada Mac lalu, drama berganda di Selangor telah dijangkakan. Drama yang sedang dimainkan sekarang adalah drama lanjutan KAJANG MOVE yang disiarkan menjelang keputusan Mahkamah Rayuan.

Cuma drama arahan Anwar Ibrahim kali ini kurang kemas, longgar dan tidak terkawal sehingga turut mengaitkan DAP dan PAS sedangkan dalam drama-drama sebelum ini, DAP dan PAS bersatu bersama-sama PKR untuk berlakon.

Menurut laporan terbaru, Khalid Ibrahim menolak untuk bertemu dengan Lembaga Disiplin PKR dengan alasan, masa yang diberikan terlalu suntuk dan tidak adil kepadanya. Apatah lagi, persoalan yang dibangkitkan kepadanya, langsung tidak kena-mengena dengan parti sebaliknya yang dipersoalkan adalah masalah Kerajaan Negeri Selangor. Sebaliknya, Khalid memberitahu Lembaga Disiplin PKR bahawa dia hanya bersetuju untuk bersemuka dengan mereka pada 15 Ogos, dua hari sesudah Majlis Syura PAS bermesyuarat dan membuat keputusan tentang kedudukan Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor.

Khalid Ibrahim mungkin berasa lega kerana PAS menerusi suara dan kenyataan Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa PAS menyokong Khalid dan menentang perlantikan Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru. Ini adalah kerana, tiada sebarang alasan yang membenarkan penggulingan tersebut.

PKR menerusi Saifuddin Nasution, cuba memujuk PAS untuk mendengar penjelasan PKR tentang perlunya Khalid digantikan menerusi surat dan dokumen setebal 91 muka surat yang menceritakan secara terperinci perilaku Khalid yang dianggap sumbang dan memberikan imej negatif kepada PKR.

Bagaimanapun, dokumen setebal 91 muka surat tersebut, semakin menguatkan penegasan Mursyidul Am PAS itu bahawa PAS menyokong penuh Khalid meskipun pada masa yang sama, beberapa orang pemimpin PAS seperti Hanipa Maidin, dan Khalid Samad menyatakan bangkangan serta berpendapat, Nik Aziz hanya mengeluarkan pendapat peribadi, bukannya keputusan PAS.

Ironinya, pada masa yang sama juga, Majlis Syura PAS berpegang kepada pendapat Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi Awang mengenai kedudukan Khalid Ibrahim.

Dalam PAS, Majlis Syura merupakan pembuat keputusan setelah mendapat nasihat daripada Majlis Ulama PAS. Dalam hal yang sama, Majlis Ulama PAS sebulat suara memberikan sokongan kepada Khalid Ibrahim.

Pertembungan dua aliran dalam PAS merupakan kesan daripada tindakan membabi buta Anwar Ibrahim. Justeru tidak hairanlah mengapa Lim Kit Siang menyatakan 10 Ogos merupakan hari kematian Pakatan Rakyat kerana Penasihat Agung DAP itu sudah dapat mengesan, kewujudan Pakatan Rakyat tidak akan mampu bertahan sekiranya PAS terus berdegil mempertahankan Khalid Ibrahim.

Dengan kelebihan yang ada pada PAS apabila terus memberikan sokongan kepada Khalid Ibrahim, muncul satu pertanyaan besar, apakah senario baru bakal disaksikan oleh rakyat Selangor dan Malaysia amnya? Adakah Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan longgar untuk memperkuda-kudakan PAS akan hancur berderai, terutama apabila PAS menyedari kekuatan mereka membolehkan DAP tunduk kepada PAS, bukan sebaliknya?

Nantikan keputusan akhir yang juga bakal menyaksikan siapa yang akan menerima Piala Anugerah Pandai Berlakon 2014.






4 Komen to PAS Tidak Peduli Laporan 91 Mukasurat PKR Dan Tetap Sokong Khalid Ibrahim

  1. dkds says:

    Allah dah makbulkan doa solat hajat mereka sendiri…..bertelagah sesama mereka demi kuasa

  2. Parpu@pelukan keramat says:

    Drama ni akhirnya akan menyaksikan jijah jadi mb dan pas kembali menjadi barua tegar dap dan pkr.

  3. PAS mana ada telur, buat- buat tak setuju supaya tak nampak sangat, akhirnya macam biasa konon menerima keputusan demi menjaga kesepakatan. Dasar barua DAP selama-lamanya.

  4. samad says:

    biasa la nk demand la sket. Harga barang pun dah naik.

Leave a Reply