Menu Utama

Najib dan Muhyiddin Jawab Tun Mahathir

Berikut ialah pandangan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam menangani kritikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Kami menghargai pandangan mereka yang seumpama “menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus, tepung tidak selerak.”

Laksana apa difikirkan tepat – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Kepimpinan adalah mengenai melakukan perkara yang difikirkan betul dan kadangkala mengabaikan apa yang popular dalam jangka masa pendek serta mengambil keputusan tepat untuk masa depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kejayaan dalam politik bermakna mendengar banyak pendapat yang kadangkala mereka bersetuju mengenainya atau sebaliknya.

Katanya, beliau mengetahui terdapat pihak tidak bersetuju dengan beberapa polisi yang dilaksanakan kerajaan dan perkara itu dianggap sebagai lumrah, namun Perdana Menteri yakin rekod akan membuktikan segalanya.

“Sejak Program Transformasi Ekonomi bermula, ekonomi kita terus bertambah kukuh. Pendapatan isi rumah 24 peratus lebih tinggi daripada 2009.

“Defisit bajet kita menurun, kini kepada 3.9 peratus, lebih rendah daripada sasaran. Kita sedang menuju bajet berimbang menjelang 2020 dan ekonomi kita menunjukkan pertumbuhan kukuh,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia 2014 anjuran Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menyentuh mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April tahun depan, Najib berkata, beliau sedar cukai baharu itu sesuatu yang kontroversi.

“Saya juga tahu reformasi subsidi misalnya, akan mendapat kritikan tetapi saya telah bersedia untuk itu,” ujar beliau.

Berhubung peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, Perdana Menteri berkata, negara ini memerlukan rakyat yang berbakat dan dinamik untuk menghadapi pelbagai cabaran.

Berikutan itu, beliau menggesa rakyat termasuk pemimpin pelajar menerokai peluang-peluang untuk menjadi peneraju di Asia Tenggara supaya dapat menunjukkan Malaysia bukan sahaja bersedia untuk belajar daripada dunia bahkan turut bersedia memimpin dunia.

Sementara itu, Najib turut mengimbau saat beliau belajar di luar negara dan menjadi ‘duta’ Malaysia bagi menjawab soalan tentang negara, budaya serta rakyatnya.

Dari situ, katanya, beliau belajar secara mendalam berhubung perbezaan kebudayaan, perspektif dan cara dalam melakukan sesuatu. – Utusan

Kerajaan Terima Dengan Terbuka Teguran Dr Mahathir – Muhyiddin

PERMATANG PAUH, 24 Ogos (Bernama) — Kerajaan menerima dengan terbuka semua teguran dan isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata apa sahaja yang disebut oleh bekas perdana menteri itu dilihat sebagai satu teguran dan nasihat untuk memperbaiki kesilapan dan menjadi lebih baik.

“Kita terima ini adalah nasihat daripada bekas pemimpin kita yang amat kita hormati, dan oleh itu apa sahaja yang disebut oleh beliau itu kita berikan perhatian dan kita ucapkan terima kasih di atas teguran-teguran yang telah pun beliau buat terhadap pentadbiran (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) dan juga isu-isu yang telah dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Permatang Pauh di sini hari ini.

Dr Mahathir menerusi blognya www.chedet.cc berkata beliau terpaksa menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Najib kerana melihat dasar dan tindakan beliau tidak berkesan.

Dr Mahathir berkata berdasarkan situasi semasa dalam negara, kepimpinan Najib perlu diperbaiki, justeru itu beliau terpaksa mengambil pendekatan menarik balik sokongannya supaya Najib mempelajari sesuatu.

Muhyiddin berkata sebahagian besar daripada apa yang berlaku dalam kerajaan adalah hasil daripada perbincangan bersama sebelum ia diputuskan oleh perdana menteri atau kerajaan.

“Sebagai timbalan perdana menteri, saya dapati Datuk Seri Najib mengamalkan sikap terbuka, bersedia terima komen dan pandangan-pandangan,” katanya sambil menyatakan turut terkesan dengan kritikan Dr Mahathir kerana dasar-dasar kerajaan digubal secara bersama.

Sambil memberi contoh penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memberi implikasi besar dalam soal keselamatan, Muhyiddin berkata terdapat teguran Dr Mahathir yang memerlukan kerajaan menilai semula langkah-langkah yang diambil dan memperbaiki keadaan.

“Proses penambahbaikan sedang berjalan, baik daripada soal pelan ekonomi, transformasi, hal berkaitan kaum dan sokongan masyarakat kepada kerajaan, semuanya kita nilai bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga oleh parti.

“Saya sebagai timbalan presiden Umno mengambil perhatian tentang perkara itu…jadi kita harap Tun akan terus bersama-sama dengan kita memberikan pandangan yang membina,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap perdana menteri diberi ruang dan peluang untuk terus menerajui negara kerana cabaran yang dihadapi kini adalah lebih besar dan perlu ditangani bersama.

“Keadaan pada masa ini telah banyak berubah dan kerajaan perlu lebih prihatin dengan pandangan masyarakat yang kini lebih terdedah kepada media sosial dan berasa bebas untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka…oleh itu sokongan setiap pemimpin terdahulu adalah amat dihargai,” katanya.

Muhyiddin percaya Dr Mahathir terlalu sayangkan Umno dan Barisan Nasional dan mahu parti terus unggul dan mempertahankan kedudukan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Ditanya sama ada terdapat pihak yang mengambil kesempatan daripada teguran Dr Mahathir untuk melaga-lagakan kepimpinan kerajaan, Timbalan Perdana Menteri berkata: “Pastinya bila dah ada teguran Tun semua orang pandang serius…jadi pastinya ada reaksi tapi harapan kita supaya ia tidak akan menjadi satu perkara yang boleh memecahbelahkan”.

Beliau berkata teguran yang dibuat oleh Dr Mahathir itu mungkin memberi hikmah yang boleh mengukuhkan parti supaya Umno terus kukuh dan dihormati.

— BERNAMA






14 Komen to Najib dan Muhyiddin Jawab Tun Mahathir

  1. NIM says:

    ^_^ Saya suka teguran Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan jawapan Dato Seri Najib Razak serta Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka tahu cara bekerjasama elok-elok. Yang suka menangguk di air keruh tu bawa-bawa la bertaubat.

  2. Paha Kiri Pun Terasa says:

    Pendekatan membela Islam dan Melayu itu bukan untuk popular laa!!!
    Itu adalah kewajiban setiap pemimpin yang memimpin negara ini kerana sebab itu perkara ini dimasukkan dalam perlembagaan. Setiap pemimpin yang memimpin negara ini tidak boleh mencipta pelbagai dalih bagi mengelak untuk melaksana tanggungjawab ini. Pemimpin negara mesti bertegas dalam menjalankan tanggungjawab ini.

  3. itsme says:

    inilah akhlak yg mulia… bila dicerca oleh anwar israel dan sekutu setannya mrk (umno) tetap sabar & tabah, bila ditegur secara keras diterimanya dgn penuh terbuka dan menjawab dgn tertib spt mana Nabi Muhammad SAW yg sentiasa bertutur dgn baik dan teratur ibarat memetik buah2 yg ranum dan meninggalkan yg muda. Itulah pimpinan UMNO yg akan sentiasa mengamalkan sikap yg melambangkan siapa mrk dan jika dibandingkan dgn para pemimpin pembangkang amatlah jauh ibarat langit dan bumi. Mudah2an umno/msia sentiasa.dibawah naungan Allah dan Allah SWT akan sentiasa mencurahkan rahmatNYA dan kasihsayangNYA kpd kita semua.

  4. Tubir says:

    Akhirnya kita akan hanyut dengan rekord rekord yang kononya memukau……Katanya, beliau mengetahui terdapat pihak tidak bersetuju dengan beberapa polisi yang dilaksanakan kerajaan dan perkara itu dianggap sebagai lumrah, namun Perdana Menteri yakin rekod akan membuktikan segalanya.
    Tapi bagai mana yang dirasai oleh rayaat terutamanya orang orang Melayu?Adakah PM tahu dan Faham apa yang terjadi dan dan apa yang tersirat ?Jangan menang sorak kampong tergadai sudahlah .
    Cabaran dizaman TDM dengan zaman Najib sama aja tak ada bezanya …….cuma yang membezakan zaman tersebut adalah orang yang menerajuainya ……zaman dipandang dan dilaluai lebih sukar jika Pemimpinya Lemah dan kuat berangan angan dengan rekord rekord……simpanlah rekord rekord tu untuk shyook sendiri….

  5. yon76er says:

    Tegur Menegur memang AMALAN kita orang Islam/Melayu/BN/UMNO…xda masaalah..jangan ada yg ambil KESEMPATAN sudahlah, baik dari dalam dan luar …

  6. baba says:

    masing2 ada kelebihan dan kekurangan masing2, biar masing2 ikut cara masing2 yg sesuai dgn keadaan semasa

  7. Madu 3 says:

    Sekadar membaca tulisan di sini, pandangan kita, Najib ni lebih ego berbanding Muhyiddin.
    Lebih kepada masuk bakul angkat sendiri. Jelas Najib tidak senang dengan Mahathir. Ego inilah yang menghalang Najib menjadi lebih ikhlas dalam memberi jawapan balas. Yang pasti penjilat-penjilat Najib sedang bersukaria, Big boss dah berbunyi.
    Kita lebih suka jawapan yang di berikan oleh Muhyiddin, lebih kemelayuan. Jelas penuh hormat dan merendah diri.
    Jikalau Najib terlalu sombong untuk mendengar dan melayan kerenah Mahathir setidak-tidaknya dengar lah keluhan rakyat yang masih sayangkan negara ini. UMNO adalah tools untuk memartabatkan islam dan Melayu di negara ini bukan untuk imej diri sendiri dan isteri.

  8. Pak Tho says:

    Dengar denyut nadi rakyat tapi lepas tu buat bodoh je. Itu macam ke?.

  9. hasnul rahman says:

    Assalammualaikum wmt,
    Nak cakap bab lain saya tak pandai.
    Tapi yg saya nampak – mungkin semua rakyat juga nampak, adalah mengenai terhapusnya ISA yg menyaksikan jenayah berat semakin menjadi-jadi.
    Banyak kes kecurian kenderaan berlaku pada waktu subuh ketika tersimpan baik dalam porch rumah-rumah mangsa.
    Kecanggihan aplikasi keselamatan masih tak mampu menghalang penjenayah curi kereta mewah.
    Tak tahulah apakah ini tidak termasuk dalam ansformasi Najib?
    Kalau tak masuk, tolonglah cari jalan atasi jenayah berat yg kian meningkat dan semakin berleluasa.
    Mungkinkah kerana ramai tahanan ‘Simpang Ranggam’ dah bebas kerana tak adanya ISA?
    Bila dibebas mereka tak tahu buat kerja lain selain jenayah?
    Entahlahhhhhhhhhhhh!

  10. kluangman says:

    Umno hanya mengharapkan pembangkang bermasalah, berpecah dan lemah – mereka tumpang kuat.

    Semasa paklah ambil alih kemudian najib mereka berhujah perubahan untuk masa depan yng lebih gemilang dan rakyat menjawabnya di pru13 dng kekalahan yg lebih teruk kpd najib….hari ini mereka berhujah lagi…rakyat juga akan berhujah di setiap pilihanraya kecil sehingga pru14.

    Tengok, siapa yang auta? Pemimpin ke rakyat?

  11. kuman says:

    DR tegur kenara UMNO terlalu lama tidur. Bukan Najib tak benar benar effektif. UMNO terlalau lama TIDOR.

  12. Jambol says:

    Ramai akar umbi dalam UMNO yang bersetuju dan menyokong Tun M. Pemimpin-pemimpin UMNO, terutama menteri-menterinya yang masih lagi bermimpi dan sedang sibok mengampu Najib serta bersikap bahalul dan bodoh sombong, perlu memandang serius apa yang dikemukakan oleh Tun M.

    UMNO perlu menjaga kepentingan masyarakat pengundinya dengan tegas dan berani. Bagi duit kepada rakyat, mereka semuanya ambil. Tetapi bila mengundi, mereka akan tetap mengundi DAP. Ini hakikatnya yang perlu disedari oleh UMNO.

  13. bangKano says:

    Mahathir sering mengkritik dasar Najib bukan berdasarkan jujur & ikhlas tetapi irihati,dengki,cemburu & kecewa atas populariti Najib kini….sedangkan Mahathir tiada siapa yang memujanya lagi. Cuma segelintir puak-puak Mahathirisme DKK yang masih tegar menyokongnya…….kelompok melayu totok sudah meluat dengan sikap ego,angkuh & kompleks hiperioriti Mahathir selama ini. Apa yang Mahathir inginkan ramai rakyat negara ini sentiasa memuja-muja tentang kehebatan yang telah dicapai beliau selama berkuasa 22 tahun.

    Lantas dia mengkritik agar rakyat bersimpati dengannya…anehnya tiada lagi rakyat yang masih terpesona dengan kehebatannya..inilah sindrom yang dideritai oleh Mahathir setelah bersara dari politik…..

  14. Babu says:

    Sejauh manakah kita dibawah pemerintahan sekarang?
    Antara dua era,apakah keadaan kita sekarang lebih baik dari dulu?

Leave a Reply

Threesome