Menu Utama

Hisham Ulas Dakwaan #MH17 Ditembak Pesawat Pejuang

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan laporan tersebar di media sosial yang mendakwa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh oleh pesawat pejuang.

Beliau berkata, sebaliknya hasil risikan dan bukti dikumpulkan daripada penemuan serpihan pesawat malang itu jelas menunjukkan ia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu yang dilancarkan dari darat ke udara.

“Berdasarkan risikan tentera dan bukti sebahagian serpihan pesawat yang kita temui, tidak mungkin peluru yang digunakan dari udara ke udara tetapi dari darat ke udara.

“Sama ada ia milik Ukraine atau milik pihak pemisah yang dibekalkan oleh pihak Rusia, peluru itu mesti dari BUK System dan hal ini tidak dapat dinafikan oleh pihak Eropah, NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) mahupun Rusia”.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno Bahagian Bera di Bera hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua Umno Bahagian Bera.

Hishammuddin mengulas laporan media sosial yang mendakwa pesawat penerbangan negara MH17 membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas kerana ditembak jatuh oleh pesawat pejuang.

Kementerian Pertahanan Rusia sebelum ini turut mengeluarkan rakaman video yang menunjukkan kehadiran sebuah jet pejuang Ukraine, Sukhoi 25 (Su-25) yang dikesan terbang pada jarak tiga hingga lima kilometer daripada pesawat MH17 sebelum nahas itu.

Bagaimanapun, pakar ketenteraan luar negara berpendapat berdasarkan serpihan pesawat yang terbakar dan dipenuhi lubang-lubang kecil dan besar di bahagian tengah pesawat itu, ia ditembak dengan menggunakan peluru berpandu dari darat ke udara.

Hishammuddin berkata beliau sendiri secara peribadi dan berdasarkan pengalaman dan pengetahuannya sebagai Menteri Pertahanan turut yakin pesawat MH17 ditembak menggunakan peluru berpandu BUK.

Sehubungan itu beliau menasihati rakyat di negara ini agar tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi dan khabar angin yang tersiar di media sosial.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin berkata bermula hari ini, kerajaan dan pimpinan Umno akan menggunakan hashtag #justice for MH17 berbanding #pray for MH17 yang digunakan sebelum ini.

“Jika sebelum ini kita mendoakan mangsa pesawat berkenaan, tetapi kini kita tuntut keadilan untuk mencari siapa dalang sebenar yang menembak jatuh pesawat kita. Ini pesawat kita, yang jadi mangsa orang kesayangan kita, sampai sekarang tak tahu sebabnya, jadi penting untuk kita dapatkan keadilan.

“Kalau sebelum ini insiden pesawat komersial lain yang ditembak tidak mendapat keadilan yang sewajarnya hingga ke hari ini, kita tidak mahu ia turut menimpa MH17 dan kita akan siasat ke akar umbi untuk tahu siapa yang bertanggungjawab,” katanya.

-Bernama



« (Previous News)



5 Komen to Hisham Ulas Dakwaan #MH17 Ditembak Pesawat Pejuang

  1. anoni says:

    Risikan tentera mana yg kata peluru berpandu? Amerika? Ukraine? Keduanya mmg dah diketahui ingin berperang dgn Rusia…Sepatutnya H20 tak boleh pandai2 komen kalau dia betul2 nak bawa keadilan utk MH17.. Hanya badan penyiasat yg berhak kata apa dan siapa atau bukan penyerang udara yg sebabkan tragedi.. Sampai sekarang ni rakaman ATC Ukraine tak serahkan .. Apa H20 ni tak nampak ke..tak pasal2 jadi agen kepada puak penjenayah yg tembak mh17

  2. dagang says:

    Yang hendak bising2 tembak diudara atau tembak dari darat itu apa gunanya. Yang pasti sudah terbukti pesawat MAS itu ditembak hingga hancur bersepai. Biarlah pakar2 senjata itu menilai jenis apa tembakan itu. Kita tunggu pula apakah tindakan sepatutnya “DUNIA” ambilkan ekoran kejadian buruk itu.

  3. bluk says:

    wowww…nmpknya jwpn hisham btul ikut skrip us.smpi mampus pon aku xkn pcy bukn us n gang yg tlibat bunuh rakyat kita.thanx najib n hisham sbb da tjuk side mn kpimpinan kita brada.alangkah bgus kalo tun m masih mmimpin

  4. jackal47 says:

    ada beza antara ditembak disebabkan peluru berpandu udara-ke-udara..dan peluru berpandu darat-ke-udara.
    Kalau ditembak menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara, hanya pihak Ukraine yang boleh berbuat demikian, sebab hanya mereka yang mempunyai pesawat pejuang, dan tidak pemberontak.
    Kalau menggunakan peluru berpandu darat-ke-udara, kedua-dua pihak Ukraine dan pemberontak merupakan suspek yang berkeupayaan berbuat demikian.

  5. raplahjingaa says:

    Hishamuddin hari ni nasihat rakyaat jangan buat spekulasi tentang penembakan pesawat tersebut, yang dia sendiri buat spekulasi tak pe la pulak !! apa bukti yang pesawat tu ditembak dengan SAM ??

    Hishamuddin ingat rakyaat bodoh macam dia, kenapa dia berai-ia mengatakan pesawat tu ditembak SAM sedangkan buktinya tak ada langsung ?? hari tu kecoh dengan black box, la ni dah dapat, dah kaji…apasal diam membisu ?? apa kandungan blackbox tersebut ??

Leave a Reply