Menu Utama

Gara-Gara Perkataan Bom, Malindo Air Tergendala, Penumpang Nyaris Ditangkap

Penerbangan sebuah pesawat Malindo Air ke Pulau Pinang dengan membawa 37 penumpang dan anak kapal tergendala selama beberapa jam berikutan ancaman bom sebelum berlepas dari lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Syarikat itu, dalam satu kenyataan, berkata kapten penerbangan dimaklumkan mengenai kemungkinan ancaman bom semasa menaiki pesawat dan sebagai prosedur operasi standard, syarikat penerbangan itu memaklumkan menara kawalan dan pihak berkuasa.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Raja Sa’adi Raja Amrin berkata pesawat itu yang dijadual berlepas ke Pulau Pinang pada jam 3.40 petang, telah dibawa ke satu kawasan terpencil untuk menurunkan penumpang dengan selamat dan mereka dikuarantin sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatan.

“Unit Pemusnah Bom menjalankan usaha mencari secara menyeluruh dalam pesawat dan bagasi penumpang dan memberi pelepasan bahawa pesawat itu selamat,” kata Raja Sa’adi dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata penumpang termasuk seorang bayi dihidangkan makanan dan mereka dipindahkan untuk menaiki pesawat lain yang berlepas ke Pulau Pinang pada 9.30 malam.

Sambil memberi jaminan bahawa keadaan itu ditangani secara profesional, Malindo Air menegaskan bahawa syarikat itu memandang serius ancaman ke atas keselamatan penumpang.

Di SUBANG, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata, penerbangan pesawat itu terpaksa ditangguhkan selepas seorang penumpang lelaki mengeluarkan perkataan ‘bom’ kepada petugas Malindo Air semasa proses pemeriksaan pas pelepasan.

“Semasa pemeriksaan, lelaki itu menunjukkan pas pelepasan sambil mengatakan”kenapa nak periksa sekali lagi, bukan ada bom pun”.

“Ketika itu, petugas penerbangan itu tidak berbuat apa-apa malah hanya memaklumkan insiden itu kepada pegawai atasan beberapa minit sebelum penerbangan,” katanya kepada pemberita di Balai Pelepasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang semalam..

Beliau berkata, juruterbang pesawat berkenaan kemudian memaklumkan maklumat itu kepada pusat kawalan sebelum menangguhkan penerbangan itu.

Azmi berkata kemungkinan lelaki itu tidak sedar perkataan ‘bom’ adalah satu perkataan yang sangat sensitif dalam industri penerbangan yang melibatkan keselamatan penumpang serta anak kapal.

“Sejurus menerima maklumat itu, Unit Anjing (K9) dan Unit Bom telah tiba dan menjalankan pemeriksaaan dalam pesawat berkenaan, namun tidak menemui apa-apa.

“Pegawai Malindo berkenaan juga diminta untuk mengecam penumpang yang berkata bom, namun beliau gagal mengecam. Dia tak ingat,” katanya.

Walaupun begitu, pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, katanya.

– Bernama






Satu Komen to Gara-Gara Perkataan Bom, Malindo Air Tergendala, Penumpang Nyaris Ditangkap

  1. dkds says:

    Melawak pun tgklah tempat…memang menyusahkan orang…orang periksa untuk keselamatan….dasar bahlol sungguh…mana ada orang mengaku bawa bom …elok penumpang tu dikenakan tindakan….saman

Leave a Reply

Threesome