Menu Utama

Pertukaran Menteri Besar Terengganu, Apakah UMNO Bakal Berhadapan Krisis?

Oleh Ab Jalil Backer

Pengumuman pertukaran Menteri Besar Terengganu sebentar tadi merupakan satu kejutan kerana Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini pernah memberi isyarat tidak akan berundur dari jawatan tersebut. Namun hari ini Sinar Harian memetik sumber Setiausaha Agung UMNO menyatakan bahawa Sultan Terengganu telah memperkenankan perletakan jawatan Ahmad Said.

Beberapa jam selepas pengumuman tersebut, Perdana Menteri mengumumkan perlantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

matsaid17Sungguhpun spekulasi penggantian ini telah dimulakan oleh media arus perdana sejak minggu lalu, namun ia tidak dijangka akan berlaku berdasarkan komen Ahmad Said bahawa keadaan genting Barisan Nasional Terengganu 17-15 sewajarnya tidak diganggu-gugat.

Namun hari ini spekulasi tersebut tetap menjadi kenyataan. Hakikat Setiausaha Agung UMNO terpaksa turun ke Terengganu berjumpa dengan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional menunjukkan ada peralihan ini tidak selicin yang dijangka.

Beberapa ADUN dilaporkan tidak gembira dengan perubahan ini dan enggan berjumpa Setiausaha Agung UMNO tersebut. Sehingga petang tadi dilaporkan hanya 9 daripada 17 ADUN telah berjumpa. Ini memberi persepsi bahawa 8 ADUN lagi mungkin membuat keputusan yang mengeruhkan keadaan.

Sebenarnya kedudukan DUN Terengganu sangat genting, sekiranya dua ADUN membuat keputusan tidak mengiktiraf perubahan ini dan disokong oleh Pas, Terengganu bakal berhadapan krisis pentadbiran dan politik yang sangat luar biasa.

Jika Ahmad Said membuat keputusan untuk terus menjadi Menteri Besar dan Pas sebulat suara menyokong beliau, maka DUN akan menjadi tergantung. Ini mungkin memaksa satu pilihan raya negeri diadakan bagi menyelesaikan keadaan 16-16 tersebut. Jika Ahmad Said berjaya memujuk beberapa ADUN BN bersamanya, beliau akan kekal menjadi menteri Besar bebas dengan sokongan Pas.

Senario ini bergantung sepenuhnya kepada Ahmad Said. Mengetahui keberanian Ahmad Said dalam politik, langkah-langkah seperti ini bukanlah luar biasa.

Punca Pertukaran

Putrajaya dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya 2013. Kehilangan majoriti 2/3 memberi ruang kepada kem anti Ahmad Said untuk mendesak perubahan. Peristiwa penggantian Menteri Besar secara mendadak oleh Sultan Terengganu pada 2008 masih berbekas hingga sekarang dalam UMNO Terengganu.

Namun kem Ahmad Said berpendapat menyalahkan beliau semata-mata dalam keputusan pilihan raya umum lalu di Terengganu tidak masuk akal kerana ia berpunca daripada situasi satu kapal dua nahkoda. Hampir satu negara tahu perpecahan antara kem Ahmad Said dan Idris Jusoh gara-gara Idris terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Ahmad Said secara mendadak.

Tidak cukup itu, UMNO membuat keputusan bagi mengurangkan permusuhan ini, seorang Naib Presiden UMNO diparacutkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu. Kem Ahmad Said tidak segan silu menyalahkan situasi ini sebagai punca UMNO Terengganui menjadi lemah.

Ahmad Said sebagai Menteri Besar sepatutnya mengetuai badan Perhubungan UMNO Negeri tetapi beliau hanya dilantik sebagai Timbalan. Ini memberi gambaran politik yang tidak baik kepada senario politik negeri seolah-olah Ahmad Said adalah Menteri Besar yang tidak dikehendaki oleh UMNO.

Dalam pilihan raya umum yang lalu dan kemudiannya Pilihan raya Kuala Besut, jelas UMNO berusaha menyatukan kumpulan Idris Jusoh dan Ahmad Said ini agar tidak merosakkan lagi UMNO negeri. Namun, Apakah pemberhentian Ahmad Said boleh menyelesaikan masalah?

Krisis Politik Negeri?
Seorang pemerhati politik bertanya, jika Ahmad Said perlu melepaskan jawatan Menteri Besar, apakah antagonisnya Idris Jusoh terus kekal sebagai Menteri? Mungkin ini juga yang sedang ditimbangkan oleh kem Ahmad Said.

Sungguhpun terdapat laporan Ahmad Said menghantar surat perletakan jawatan kepada Sultan, namun sumber yang lain pula menyatakan Ahmad said tidak pernah menghadap Tuanku bagi menyerahkan surat perletakan jawatan tersebut.

Dalam tempoh beberapa jam atau beberapa hari lagi kita akan melihat sama ada Terengganu akan sekali lagi diwarnai oleh krisis politik atau proses transisi kuasa inin akan berjalan lancar.

Namun melihat cara pengumuman penggantian ini dibuat dan sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada Ahmad Said, jelas jalan menukar Menteri Besar Terengganu tidak semudah yang dijangka oleh Putrajaya.

Jika ia proses perubahan yang diterima seperti mana dakwaan Tengku Adnan kepada Utusan maka sudah pasti kita sudah melihat Ahmad Said dan Ahmad Razif berjabat tangan sambil berpelukan.

Lebih menarik, apakah benar khabar angin bahawa Sultan Mizan sendiri berada di luar Terengganu hari ini menyebabkan tiada acara angkat sumpah dapat dijalankan malam ini?

Apa pun, buat masa ini realiti politik Terengganu terletak di tangan Ahmad Said dan Pas.






8 Komen to Pertukaran Menteri Besar Terengganu, Apakah UMNO Bakal Berhadapan Krisis?

  1. Badrole Amin says:

    mengenai berlaku krisis/kemelut ataupun tidak segalanya bergantung pada Mat Said…jika Mat Said tenang, tabah, redha serta tidak membuat kecoh(membuat komen-komen negatif) tentang penukaran(MB) yang dilakukan, diharap 8 lagi ADUN Terengganu BN itu dan sesiapa sahaja baik di Terengganu atau diluar tidak cuba menjadi opportunist mencipta ‘cerita-cerita separuh masak’ untuk menjadikan isu penukaran MB Terengganu ini sebagai satu krisis/kemelut

    jika nak berlaku juga krisis/kemelut, janganlah sampai berpanjangan…krisis/kemelut tentang penukaran Idris Jusoh dahulu tidak panjang meleret-leret jadi kenapa krisis/kemelut tentang penukaran Mat Said harus berpanjangan dan nak dimeleret-leretkan sehingga boleh menjejaskan kelangsungan penguasaan UMNO/BN yang mentadbir Terengganu dengan nisbah BN17-PR15 dalam DUN

  2. tony gunawan says:

    asyik cakap pkr,rupa-rupa parti sendiri sudah busuk!

    hahahahahahahahaha!

  3. dkds says:

    Ermmmmm alahai…..kenapa tidak boleh bersabar

  4. Bundderzghamt says:

    THE BEGINNING OF THE END. Memang Mohd. Said akan bikin kecoh……..no doubt about it.Tumbangnya Mohd.Said,beliau akan seret BN juga untuk tumbang.No way Jose dia akan biaq Najib dan regime hidup senang,dan tidur lenang.Knowing karektor “Budak nakal Kampung Kijal”…………….dia akan dan mesti buat kecoh.For BN,…….good luck dan selamat mengharungi badai yang akan direncana dek “The naughty kampung Boy”.

  5. darahbiru says:

    Hmm , kemelut dalam umno dah terlalu teruk , umno x bersalah , tp org dlm umno itu sendirisalah , walau apa pun jadi , kesetiaan ku tetap pada umno , bkn kerana aku taksub dgn parti tapi kerana aku x sanggup tgk parti yg banyak membantu keluargaku di permainkan, bkn aku x percaya Allah yg memberikan rezeki , tp sedikit sebanyak umno bnyk membantu , x apa umno , sabar je lah , generasi baru akan bersama membantu umno.

  6. lang buana says:

    ini mesti ada faktor luaran yg mempengaruhi….mana tau kan…skrg ni macam macam…tidak mustahil…

  7. bangKano says:

    Kemelut terbaru Terengganu meropa kan sati ujian kat Najib la ni….mampu ka Najib menyelesai kan kekalutan ni….? Sama sama la kita lihat kebijakan Najib mengurusi permasaalahan ni…..!!!

  8. Elaine says:

    Setuju. UMNO tersalah.. Sikap2 org dlm UMNO yang tidak mendahului kepentingan sendiri dari perjuangan parti yg merosakkan UMNO. Dalam serba kekurangan sebenarnya sgt bersyukur kerana dgn bantuan dr UMNO.. anak2 mampu tuk sambung belajar dan berjaya… Sedeh dgn kemelut seperti ini… DAP dan sektu bersorak kegembiraan!!!!

Leave a Reply