Menu Utama

Polis maut kejar suspek

Johor Bahru: “Hati saya hancur. Kami sepatutnya menyambut anak pertama empat bulan lagi, namun kini, saya terpaksa hidup bersendirian selepas suami meninggal dunia pagi tadi (semalam),” kata Lini Marlina Steven, 22, isteri Konstabel Jucille Juin, 23, yang meninggal dunia apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal suspek, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 2.15 pagi di Jalan Loo Hong Joo, Kampung Baru Pandan, Jucille berkhidmat di Balai Polis Majidee, di sini, bersama seorang anggota sedang menjalankan rondaan.

Ketika itu, Jucille mendapati seorang penunggang motosikal dilihat mencurigakan dan memberi arahan kepada suspek supaya menghentikan motosikalnya, namun suspek enggan menyebabkan Jucille dan seorang rakannya mengejar suspek.

Difahamkan, motosikal dinaiki mangsa bergesel dengan motosikal suspek menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum motosikalnya terhumban ke dalam longkang, manakala Jucille tercampak di atas jalan raya dan cedera parah di kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Lini Marlina berkata, dia dimaklumkan kejadian menimpa suaminya jam 3 pagi oleh beberapa anggota polis yang datang ke rumah sewa mereka di Taman Melor, di sini.

“Saya sedih dengan kejadian menimpa suami. Saya tidak pernah menyangka, sebelum anak kami lahir suami sudah tiada dan lebih menyedihkan, dia tidak sempat menyambut ulang tahun kelahirannya ke-23 Khamis ini (31 Oktober ini),” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HSI di sini, semalam.

Dia berkata, kali terakhir dia bertemu suaminya ialah pada malam kelmarin di rumah sewa mereka dan suaminya sempat berpesan untuk menjaga kesihatan serta anak dalam kandungan.

Harian Metro






Satu Komen to Polis maut kejar suspek

  1. […] See more here: Polis maut kejar suspek […]

Leave a Reply