Menu Utama

PCA – Zahid dan Anwar Berbeza Pendapat

Kepentingan masyarakat umum menjadi keutamaan dalam Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dengan melihat kepentingan hak asasi majoriti diutamakan tanpa meminggirkan hak asasi kumpulan minoriti.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semasa isu hak asasi manusia penjenayah menjadi aspek yang sering dipersoalkan dalam rang undang-undang itu, hak yang sama juga perlu dipertahankan buat mangsa.

“Kami bertanya di parlimen semalam, apa hak asasi manusia di pihak yang menjadi mangsa, kenapa tidak dipertahankan. Bagaimana dengan polis yang ditembak mati penjenayah, apa hak asasi mereka, kenapa hanya hak asasi kalangan ketua kongsi gelap atau ahli kongsi gelap sahaja dipertahankan,” katanya.

Beliau yang ditemui semasa melawat Pameran Polis Umum ke-3 dan Pameran dan Persidangan Kelengkapan Khas Asia 2013 (GPEC Asia 2013) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu, lewat malam tadi.

Beliau berkata semasa aspek hak asasi manusia dalam undang-undang dihormati, penting juga dilihat aspek keseluruhan, iaitu pencegahan dan penghapusan jenayah perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan sepenuhnya, selain kemampuan polis dalam tindakan-tindakan mereka.

“Kami tidak menolak sepenuhnya pendapat pembangkang terutama daripada kalangan ahli parlimen pembangkang yang mempunyai latar belakang guaman dan pengamal undang-undang, kami mengambil kira beberapa klausa yang mereka rasakan perlu dikaji semula,” katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, Ahmad Zahid berkata Kementerian Dalam Negeri sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam berhubung undang-undang itu.

Beliau berkata pihaknya bersikap terbuka berhubung perkara itu dan yang penting ‘roh’ dan objektif utama pelaksanaan undang-undang itu untuk membendung jenayah difahami.

Langkah itu bagi memastikan hasrat ke arah pembendungan dan pembanterasan jenayah dapat dilakukan demi menjamin hak asasi rakyat yang mahukan perlindungan sewajarnya, katanya.

“Kalau pun PCA ini tidak boleh diterima sepenuhnya, harap ia dapat dihormati sebagai undang-undang pencegahan dan pembanterasan jenayah.

“Kami tidak mahu PCA dianggap sebagai proses tahanan tanpa bicara sepenuhnya walaupun saya dah jelaskan beberapa kali bahawa terdapat badan pencegahan jenayah sebagai badan yang akan menjatuhkan hukuman untuk penahanan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau turut terbuka untuk sebarang perbincangan bagi memperbaiki klausa dalam undang-undang berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar di bangunan Parlimen berkata beliau akan tetap mengadakan bantahan berhubung pindaan akta berkenaan melalui sesi dialog, ceramah dan soal jawab di luar parlimen.

— BERNAMA



(Next News) »



2 Komen to PCA – Zahid dan Anwar Berbeza Pendapat

  1. […] Follow this link: PCA – Zahid dan Anwar Berbeza Pendapat […]

  2. dkds says:

    Inilah yang membedakan antara pemimpin ke dua-duA belah pihak…..pemimpin bn melihat dlm skop yang luas…manakala pemimpin pembangang yg diktuai oleh Anwar melihat dr sudut sisi yang kecil….mereka sanggup mempertaruhkan nywa rakyat demi memuaskan hati pelobi mereka

Leave a Reply

Threesome