Menu Utama

Lelaki Malaysia ditahan di Zamboanga terlibat aktiviti MNLF

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Seorang rakyat tempatan berasal dari Kota Kinabalu ditahan pihak berkuasa Filipina di Zamboanga City, selepas disyaki terlibat dengan aktiviti Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di Selatan Filipina.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mantek memberitahu Bernama, lelaki berusia 55 tahun itu ditahan pada 4 Okt lepas dan kini dibawa ke Manila untuk siasatan lanjut pihak berkuasa Filipina.

“Tangkapan itu ekoran daripada tindakan susulan pihak keselamatan Filipina terhadap individu-individu yang disyaki terlibat dalam insiden serangan oleh anggota MNLF di Zamboanga City pada 9 September lepas,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit memandangkan dia masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.

Diminta mengulas sama ada individu terbabit merupakan individu yang mendakwa kononnya menerima tajaan bagi kegiatan MNLF dalam serangan itu, beliau berkata ia masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.

Ekoran daripada serangan itu juga, Malaysia sebelum ini mengaktifkan amaran keselamatan di sepanjang sempadan perairan Sabah kerana khuatir ia menular ke negeri itu memandangkan kedudukan Sabah yang terletak berhampiran Selatan Filipina.

“Sehingga kini tiada ancaman keselamatan dikesan di sepanjang perairan Pantai Timur Sabah susulan daripada serangan di Zamboanga City, namun langkah keselamatan dengan mengukuhkan sempadan perairan tetap diteruskan,” katanya.

Mohammad berkata, pihak keselamatan Malaysia akan mengadakan kerjasama dengan pihak keselamatan Filipina jika diperlukan.

“Setakat ini kita tidak ada masalah untuk beri kerjasama sebab hubungan baik kita dengan kerajaan Filipina,” katanya.

Dilaporkan lebih 400 anggota MNLF menyerang Zamboanga City untuk menawan bangunan dewan bandar raya dan menaikkan bendera ‘Republik Bangsamoro Merdeka’.

Kira-kira 190 pejuang MNLF terbunuh selepas pertempuran lebih tiga minggu dan 292 suspek ditawan atau menyerah diri.

Menurut laporan akhbar dalam talian negara itu, 23 anggota tentera serta polis terbunuh dan 180 cedera, manakala 12 orang awam maut dalam kejadian itu. -BERNAMA






Leave a Reply

Threesome