Menu Utama

Bajet 2014: Langkah PM Bendung Spekulator Hartanah Wajar Dipuji, Namun Perlu Penambah baik

Oleh Ab Jalil Backer

Antara inti pati menarik ucapan pembentangan Bajet 2014 oleh Y.A.B Perdana Menteri sebentar tadi ialah isu kenaikan harga rumah yang kian mencanak terutamanya di Lembah Klang dan Johor Baharu. Isu ini sangat menarik perhatian saya kerana pada 21 Oktober yang lalu saya menulis dalam Facebook memberi respon kepada Facebook Najib Razak mengenai isu ini.

Saya antara lain mencabar Kerajaan mengambil beberapa tindakan drastik membendung spekulator hartanah ini jika ia benar-benar ikhlas mahu mengatasi isu ini.

hartanah

Sungguhpun saranan saya tidak disambut sepenuhnya kerana bersikap radikal dan tidak objektif, namun semangat mahu engawal isu perumahan ini jels sangat dekat dengan Perdana Menteri. Ssaya fikir pengumuman kerajaan beberapa polisi kewangan baru kepada spekulator hartanah dan pemilikan asing sangat mengujakan dan wajar dipuji.

Dalam ucapan hari ini Perdana Menteri telah memberi satu pengumuman yang sangat komprehensif dalam mengambil tindakan secara bersederhana (moderate) ke atas spekulator hartanah dan juga permainan kotor pemaju perumahan.

 
Tuan Yang Di Pertua,

Meningkatkan Pemilikan Rumah

187. Saya mendengar, keluh kesah rakyat untuk memiliki rumah yang selesa terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelbagai rungutan sering diperkatakan seperti harga rumah melambung tinggi, bekalan rumah tidak mencukupi dan kesukaran mendapatkan pembiayaan.

188. Akhir-akhir ini, didapati kenaikan harga rumah amat ketara yang telah menjejaskan kemampuan masyarakat untuk membeli rumah. Di samping itu, aktiviti spekulasi turut memberi kesan ke atas kenaikan harga rumah. Situasi ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pasaran hartanah dalam jangka masa panjang.

189. Bagi meningkatkan kemampuan rakyat membeli rumah dan memastikan harga rumah stabil serta mengekang aktiviti spekulasi yang keterlaluan, Kerajaan akan melaksanakan langkah berikut:

Pertama: Mengkaji semula Cukai Keuntungan Harta Tanah atau RPGT. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun, kadar RPGT dinaikkan kepada 30 peratus, manakala pelupusan dalam tempoh empat dan lima tahun, kadarnya dinaikkan kepada 20 peratus dan 15 peratus.

Bagi warganegara, pelupusan yang dibuat dalam tahun keenam dan berikutnya, tidak dikenakan RPGT manakala bagi syarikat, RPGT dikenakan lima peratus. Bagi bukan warga negara pula, RPGT dikenakan pada kadar 30 peratus bagi tempoh pegangan sehingga lima tahun dan pelupusan dalam tahun keenam dan berikutnya, RPGT dikenakan lima peratus;

Kedua: Meningkatkan harga minimum hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing daripada 500 ribu ringgit kepada satu juta ringgit;

Ketiga: Meningkatkan ketelusan harga jualan hartanah, di mana pemaju hartanah perlu mempamerkan secara terperinci harga jualan termasuk semua manfaat dan insentif yang ditawarkan kepada pembeli seperti pengecualian yuran guaman, duti setem perjanjian jual beli, rebat tunai dan hadiah percuma; dan

Keempat: Melarang pemaju perumahan melaksanakan projek yang berciri Developer Interest Bearing Scheme atau DIBS bagi mengelakkan pemaju memasukkan tanggungan kadar faedah pinjaman pembeli semasa tempoh pembinaan ke dalam harga rumah. Oleh itu, institusi kewangan dilarang menyediakan pembiayaan akhir bagi projek yang terlibat dengan skim DIBS ini.

190. Seterusnya, bagi meningkatkan akses pemilikan rumah pada harga yang berpatutan, dianggarkan sebanyak 223 ribu unit rumah baharu akan dibina oleh Kerajaan dan sektor swasta pada tahun 2014.

Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 578 juta ringgit kepada Jabatan Perumahan Negara atau JPN bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat yang melibatkan pembinaan 16,473 unit rumah. Di samping itu, JPN juga akan membina 600 unit Program Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu dengan peruntukan 146 juta ringgit.

191. PR1MA pula akan menyediakan 80 ribu unit rumah dengan peruntukan satu bilion ringgit di mana harga jualannya adalah 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran. Manakala SPNB akan membina 26,122 unit rumah yang meliputi 15,122 unit rumah mampu milik, tiga ribu unit Rumah Idaman Rakyat dan lapan ribu Rumah Mesra Rakyat.

Kerajaan juga memperkenalkan kategori baharu Rumah Mesra Rakyat dengan harga jualan antara 45 ribu ringgit hingga 65 ribu ringgit, di mana Kerajaan akan memberi subsidi di antara 15 ribu ringgit hingga 20 ribu ringgit seunit.

192. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome sebagai satu langkah untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana. Skim ini menawarkan subsidi 30 ribu ringgit seunit kepada pemaju swasta. Antara kriteria utama skim ini adalah:

Pertama: Membina sekurang-kurangnya 20 peratus rumah kos rendah dan 20 peratus rumah kos sederhana dalam satu projek perumahan;

Kedua: Harga jualan maksimum rumah kos rendah ialah 45 ribu ringgit dan kos sederhana ialah 170 ribu ringgit;

Ketiga: Keluasan minimum rumah kos rendah adalah 800 kaki persegi dan kos sederhana 1,000 kaki persegi dengan kemudahan minimum tiga bilik tidur dan dua bilik air;

Keempat: Menyediakan kemudahan ruang letak kereta, surau, dewan dan taman permainan; dan

Kelima: Terbuka kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan bulanan isirumah maksimum tiga ribu ringgit bagi kos rendah dan maksimum enam ribu ringgit bagi kos sederhana.

193. Keutamaan akan diberikan kepada pemaju perumahan yang membina rumah kos rendah dan sederhana di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi. Skim ini terhad kepada 10 ribu unit rumah pada tahun 2014.

Ianya adalah untuk projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Januari tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak 300 juta ringgit di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

194. Pada masa ini, pemaju-pemaju projek perumahan seperti PR1MA, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan perumahan di kawasan baharu dibuka, layak memohon geran daripada Dana Mudahcara sebanyak 10 peratus daripada kos projek. Bagi tahun 2014, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah empat bilion ringgit untuk Dana Mudahcara sebagai inisiatif menggalakkan pelaksanaan projek swasta berimpak tinggi dan strategik.

195. Daripada jumlah tersebut, saya mencadangkan satu bilion ringgit dikhususkan sebagai Dana Mudahcara Perumahan dibawah Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS. Pemaju yang menerima geran ini, mesti mematuhi terma dan syarat serta harga jualan rumah yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Sungguhpun demikian saya berharap jenis hartanah pemilikan asing terutama di Lembah Klang akan dinaikkan kepada RM 2 juta ke atas bukannya RM 1 juta seperti yang dicadangkan. Ini kerana akan terdapat pemaju akan menaikkan harga rumah mereka yang sekitar 700,000.00 kepada harga RM 1 juta bagi mmebolehkan warganegara asing membeli.

Kerajaan juga perlu mengehadkan pemilikan asing dalam sesuatu projek pembangunan atas tanah (landed properties) kepada setakat 10% sahaja. Dalam kaedah ini, kerajaan boleh menghalang pemaju menaikkan harga rumah kepada RM 1 juta secara sewenang-wenangnya.

Saya berharap isu ini mendapat perhatian wakil-wakil rakyat yang akan mmebahaskan isu ini pada minggu hadapan.






5 Komen to Bajet 2014: Langkah PM Bendung Spekulator Hartanah Wajar Dipuji, Namun Perlu Penambah baik

  1. […] View article: Bajet 2014: Langkah PM Bendung Spekulator Hartanah Wajar Dipuji […]

  2. raplahjingaa says:

    Bila pulak kerajaan nak tetapkan syarat, rumah perlu siap, baru boleh dijual ? ramai dah yang teraniaya, rumah terbengkalai, rakyaat dok kena bayar ansuran bank.

  3. […] Read More: Bajet 2014: Langkah PM Bendung Spekulator Hartanah Wajar Dipuji, Namun Perlu Penambah baik […]

  4. alimedanbaru says:

    Sepatutnya Perbadanan Kemajuan Negeri (PKN) diberi kuasa dan tanggongjawab lebih untuk dirikan rumah. Sepatutnya swasta bekerjasama dgn PKN, bukan PKN bekerjasama dgn pemaju swasta. Dengan cara ini pemaju swasta tidak sewenang2nya melaksanakan secara solo dan sesuka hati menetapkan harga rumah.

    Seperkara lagi adalah jelas pemaju perumahan di Negara ini bersikap ‘lanun’ dgn menetapkan harga rumah hingga pemegang ijazah yg bergaji RM3k pun belum tentu mampu membeli wp dah bekerja 5 tahun kerana kebanyakan projek baru berharga RM300k keatas.

    Dan yang lebih penting, dimana kuasa Pejabat Tanah dan kuasa kerajaan negeri apabila meluluskan sesuatu projek.Sebenarnya KETEGASAN DAN KEPRIHATINAN kerajaan negeri dgn kuasa yg ada adalah terlalu kurang untuk membendung kenaikan harga rumah baru dan terpakai…

  5. TUBIR says:

    Sebagai contoh harga rumah dikawasan kinrara naik melambong tak masuk akal …..Pemaju memang tamak dan boleh diangap lanun serta rakus didalam menetapkan harga rumah .Kerajaan pun cuma berdiam diri macamtak nampak …….kenapa ini berlaku adakah menteri menteri mempunyai saham dan mendapat sesatu hingakan gagal bertindak membendung kenaikan harga .Setelah orang ramai bising bising dan dah mula bersuara agak ganas sedikit barulah najib nak bertindak ……..INI menjunjukan PM yang sebenarnya tak tahu akan kesusahan yang ditanggung oleh Rayaat terutamanya orang orang Melayu.kebanyakan wakil rayaat kita membincangkan soal soal yang tidak berfeadah didewan parleman .Merika bertekak berbahas perkara perkara remih dan bukan ada kena mengena dengan kesusahan yang ditanggung oleh rayaat …..Memang haram jadah wakil rayaat yang macam ni .Kalau tak caya ikutilah persidangan parleman jika ada masa .merika seolah olah tiada quality sebagai wakil rayaat pun .Sepatutnya rayaat boleh membuang sesaorang wakil rayaat jika ia tidak menunjukan prastasi dalam menyuarakan rintihan rayaat dan gagal membawa pembangunan .Bukan kena tunggu 5 tahun baru nak bertindak…..pengundi bagi sesatu kawasan boleh mengadakan referendum untuk membuang wakil rayaat dan memilih wakil baru ……

Leave a Reply