Menu Utama

Laporan polis secara dalam talian

SEREMBAN 25 Julai – Orang awam kini boleh membuat laporan polis secara dalam talian menerusi sistem rangkaian web Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal dilaksanakan seluruh negara mulai hujung September ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob berkata, sistem baharu yang akan dibangunkan PDRM itu bertujuan memudahkan orang ramai membuat laporan dengan pantas seiring dengan kemajuan teknologi serta kemudahan internet.

“Akhir September ini orang ramai di seluruh negara boleh membuat laporan polis secara dalam talian dengan perkara itu memudahkan pengadu membuat laporan tanpa perlu ke balai.

“Namun apabila laporan di peringkat siasatan dan laporan kes seperti kemalangan jalan raya, pengadu perlu tampil ke balai untuk memberi kerjasama membantu siasatan terhadap laporan yang dibuat,” katanya pada Majlis ‘High Profile Policing’ bersama penduduk di pasar raya besar Giant Senawang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Saiful Azly Kamaruddin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 27 Disember tahun lalu pernah mengumumkan kemudahan itu akan dilancarkan pada tahun ini.

Menurut Khalid, pelaksanaan sistem itu dirangka dan dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) selaras dengan penggunaan internet yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat.

Ayub dalam pada itu berkata, menerusi sistem baharu ini, kerja siasatan kes akan segera dilakukan sejurus laporan diterima dan kaedah itu diyakini mampu menjimatkan masa secara efisien.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, semakan perkembangan status siasatan kes yang dilaporkan menerusi sistem dalam talian akan dilaksana sepenuhnya hujung tahun ini.

“Untuk mengetahui status siasatan kes, polis akan memberi kata laluan kepada pengadu bagi membolehkan mereka mengakses status siasatan mengenai laporan masing-masing.

“Bagaimanapun, maklumat status siasatan akan dikemas kini bagi memastikan ia tidak menyalahi Akta Rahsia Rasmi dan tidak menganggu siasatan,” jelasnya.

Pada majlis itu, Ayub bersama Osman turut mengedar bubur lambuk kepada orang ramai di sekitar kawasan perniagaan Taipan Senawang.

-Utusan






2 Komen to Laporan polis secara dalam talian

  1. […] Originally posted here: Laporan polis secara dalam talian […]

  2. korokstabang says:

    pada aku menda ni karut dan hanya membebankan pegawai petugas pdrm saja nanti akan plak timbul masalah baru yang memerlukan satu mekasisma bagi menjustifikasikan satu2 laporan itu benar atau palsu belum ambil kira gangguan hacker lagi tang tu saja akan ambil masa hanya bagi mengenalpasti bentuk laporan

    kalau membuat semakan secara online akan status satu2 laporan yang sebelum itu di buat di balai ada juga nampak impaknya bagaimana dengan status satu2 laporan, kes dalam siasatan kaa kes di tutup kaa tadak kes kaa apa crita semua boleh semak secara online itu lah yang sepatutnya didulukan

Leave a Reply