Allah Dalam Bible Melayu – Kehendak Agama atau Kehendak Politik- Dr.Khir

Posted by tengkudin on January 11th, 2013
:: Filed under Blog Pemimpin ------> 1 Comment »

72818_436349259770605_444875248_n

1. Blog ini pada Januari 2010 telah menerbitkan sebuah artikel berjudul “Cari Jalan Penyelesaian Segera Isu kalimah Allah” yang antara lain menggesa orang ramai menghormati titah perintah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor mengenai penggunaan kalimah Allah.

2. Ketika itu Tuanku Sultan Selangor bertitah agar semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian Majlis Fatwa Selangor mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam. Menurut baginda keputusan tersebut haruslah dijunjung dan dihormati oleh semua pihak di dalam negeri Selangor.

3. Ketika sambutan Krismas 2012 yang lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang menggesa kerajaan Persekutuan membenarkan penggunaan perkataan Allah menggantikan kata nama Tuhan dalam Bible bahasa Melayu.

4. Berikutan itu, Tuanku Sultan Selangor telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), mufti dan pegawai tinggi MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 6 Januari 2013.

5. Menurut kenyataan akhbar, Tuanku telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi orang Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010, (Sel. P.U. 6).

6. Justeru adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak di negeri Selangor meneruskan polemik ini. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati wajarlah mereka mohon menghadap DYMM Tuanku Sultan bagi menyatakan perasaan tersebut.

7. Saya dimaklumkan terdapat perkataan Allah dalam kitab suci agama Sikh. Saya tidak fikir ia satu masalah kerana perkataan tersebut telah wujud sekian lama dalam kitab suci asal agama mereka dan bukan ditulis dalam bahasa Melayu.

8. Yang menjadi isu besar di negara ini ialah mengapa dengan tiba-tiba sekumpulan pemimpin agama dan politik mahu menterjemahkan perkataan God kepada Allah dalam Injil (Bible bahasa Melayu)? God dalam bahasa Melayu ialah Tuhan. Dalam bahasa Melayu, Allah adalah kata nama khas kepada tuhan orang Islam. Islam sebagai agama Persekutuan tentulah mempunyai hak dan kelebihan untuk melindungi keistimewaan ini.

9. Mereka yang mendokong usaha menterjemahkan perkataan God dalam Bible asal kepada Allah dalam Bible bahasa Melayu sebenarnya bukan berbuat demikian atas kepentingan agama Kristian tetapi atas kepentingan politik kepartian. Jika mereka bekerja untuk agama Kristian semata-mata tentulah tiada masalah untuk menukar perkataan God kepada Tuhan dalam bahasa Melayu kerana ia tidak menjejaskan apa-apa prinsip ketuhanan dalam Kristian pun. Apatah lagi seluruh rakyat negara ini termasuk penganut agama Kristian telah pun mengenali Allah sebagai tuhan orang Islam sejak mereka di sekolah lagi. 

Siapa Mempolitikkan Isu ini?

10. Malaysikaini.com melaporkan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, “regretted that the government is making this a polemic issue by using the media, when they (BN) do not understand and this had resulted in a strain in the relationship among people of various faiths.”

11. Kenyataan ini sangat mengarut kerana yang menimbulkan semula polemik ini ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng. Bagaimana tindak balas orang Islam di seluruh negara termasuk nama-nama besar dalam Dewan Ulama Pas ditafsirkan sebagai manipulasi UMNO? Hadi sebenarnya cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan berpusing-pusing mengenai isu ini untuk memburukkan UMNO.

Politik Lebih Penting Daripada Agama

12. Presiden Pas semalam membuat kenyataan bahawa

“Hence, the word ‘Allah’ should not be abused by other faiths in giving different meanings to the word other than the ones from Muslim interpretations, resulting in further confusion on the issue (kalimah Allah tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan). Hence, Muslims of various practices would not translate ‘Allah’ in their own language when they are performing their prayers. “Despite this, Islam does not prohibit people of other faiths to use ‘Allah’ in their practice, although it is not within the scope of the original Al-Quran language… – Malaysiakini.com

13. Apakah ini kenyataan seorang ulama atau seorang ahli politik yang menggunakan agama untuk perjuangan partinya? Belum selesai isu “pengkafiran” beliau ke atas ahli UMNO (yang dibangkitkan semula oleh Cikgu Non, seorang ahli Pas), Hadi menimbulkan satu lagi polemik agama yang serius di kalangan orang Islam.

14. Kenyataan Hadi ini adalah kenyataan politik. Tiada sesiapa pun mempertikaikan jika ada orang bukan Islam mahu menyebut perkataan Allah. Yang menjadi isu sekarang ialah apakah boleh atau tidak boleh perkataan God diterjemahkan sebagai Allah bukannya Tuhan dalam kitab Bible bahasa Melayu.

15. Janganlah kerana mahu meraih undi pengundi Kristian di negara ini Pas mahu berdolak-dalik dalam isu ini. Memang benar tiada nas yang nyata melarang penggunaan nama Allah dalam agama lain.

16. Namun ulama di negara ini baik Ulama dalam kerajaan, dalam universiti malahan dalam Pas telah sepakat bahawa penggunaan Allah dalam bahasa Melayu adalah khas untuk kegunaan orang Islam sahaja. Apakah kesepakatan ini mahu dibakulsampahkan oleh Hadi Awang hanya kerana undi?

17. Saya berharap agar sebagai seorang pemimpin Islam yang terpelajar, Hadi dapat mengambil masa bermuhasabah diri melihat isu ini. Saya khuatir kenyataan-kenyataan beliau boleh menghimpiri diri beliau kepada keadaan syirik dengan menyamakan konsep Allah yang maha esa dengan konsep Trinity dan sebagainya.

18. Apakah “Amanat Haji Hadi” lebih 30 tahun lalu sekarang ini kembali “memakan” diri sendiri?

 

Ada 1 Comment setakat ini.

  • Invesiblemen Al Mahdi
    January 12th, 2013 at 10:16 PM

    Khaled Samad adalah jelmaan syaitan.

Apa Pendapat Anda ?, Komen disini!

© MYKMU.NET. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS.

Powered by WordPress. MyKMU.NeT theme by Jebon.