Jangan Pandang Enteng Janji Pakatan Rakyat

Posted by tengkudin on December 24th, 2010
:: Filed under Blog Pemimpin ------> 7 Comments »

Oleh: Dr. Mohamad Khir Toyo

1. Pada hemat saya, Barisan Nasional tidak boleh memandang enteng sebahagian janji Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang yang terkandung dalam Buku Jingga bertajuk, “Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!”

2. Sungguhpun sebahagian janji tersebut tidak realistik namun terdapat janji-janji yang boleh mempengaruhi rakyat memberi undi kepada mereka terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM 500.

3. Terdapat kira-kira 400 ribu guru sekarang ini dan tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius. Ini kerana kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi.

4. Kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan biar pun mereka mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya.

5. Saya percaya jentera kerajaan terutamanya Menteri “jaga makmal” boleh memberi penjelasan yang logik, rasional dan sangat akademik kepada rakyat bagi menjustifikasikan kenaikan harga barang, petrol dan pengenaan pelbagai cukai termasuk kemungkinan pelaksanaan GST.

6. Saya juga percaya kerajaan mempunyai kebolehan untuk menjelaskan mengapa Menteri “jaga letrik” mengumumkan kerajaan bersetuju kenaikan tarif letrik tapi masa belum sesuai. Tentulah kerajaan juga mampu menjelaskan mengapa Tenaga Nasional Berhad bercakap soal kekurangan untung (bukan rugi) jika tarif tidak dinaikkan seolah-olah TNB ini berniaga menggunakan duit sendiri bukannya duit rakyat.

7. Menurut sebahagian rakyat termasuk guru-guru yang menjadi sasaran kempen Pakatan sekarang, “sekurang-kurangnya ada harapan dengan Pakatan berbanding Barisan Nasional yang asyik bercakap soal mengurangkan subsidi dan menaikkan tarif yang sekaligus menambah perbelanjaan dan hutang mereka.”

8. Jadi, ketika kita boleh menjelaskan untung rugi, logik dan rasional setiap tindakan namun yang jarang ditanya apakah keputusan dan penjelasan kerajaan mampu meyakinkan rakyat yang akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi dengan memberi undi kepada Barisan Nasional?

9. Sungguhpun kita boleh mendakwa banyak janji Pakatan di Selangor belum tertunai namun saya percaya ia akan mula dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang bagi menggula-gulakan pengundi.

10. Tidak mustahil pada tahun hadapan kerajaan negeri Selangor akan mengurangkan cukai pintu premis kediaman sebanyak 20% dan cukai pintu premis perniagaan sebanyak 10% seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum ini. Ini akan memberi “pukulan hebat” kepada Barisan Nasional.

11. Masalah Barisan Nasional (BN) lebih besar daripada Pakatan Rakyat (PR). BN sebagai pemerintah tidak boleh berjanji sebaliknya perlu melaksanakan kerana ia memegang tampuk pemerintahan.

12. Majoriti rakyat tidak meminta “bulan dan bintang” seperti dalam janji-janji PR. Namun rakyat juga tidak boleh terus memberi sokongan kepada kerajaan yang tidak boleh memberi mereka apa-apa harapan.

13. Barisan Nasional harus datang dengan pelan yang meyakinkan majoriti rakyat. Kalau pun tidak seindah Pakatan namun pelan BN jika baik dan cantik ia boleh mendapat kepercayaan rakyat kerana kemampuan BN telah terbukti.

14. Maka ketika kekalahan dan kejatuhan banyak parti dan pemerintah sama ada secara demokrasi atau autokratik sebenarnya bukanlah kerana isu demokrasi, ketelusan dan prestasi tinggi tetapi kerana suara golongan majoriti dalam negara tersebut tidak didengari.

15. Lihatlah banyak sejarah kejatuhan parti dan pemerintah kebanyakannya berpunca daripada kenaikan kos sara hidup, petrol dan pengenaan pelbagai cukai yang akhirnya membosankan majoriti rakyat (middle class dan lower class) dan mengambil keputusan menghumbankan mereka jatuh dari tampuk pemerintahan. Saya tidak perlu menyebut contoh namun kenaikan kos sara hidup sudah cukup menghumban beberapa pemimpin parti negara jiran dan eropah sejak berdekad-dekad lalu.

16. Ketika kita tidak menafikan kepentingan kerajaan menjadi telus, anti rasuah dan bijak menguruskan ekonomi negara yang menjadi mantera golongan elit perniagaan, elit politik dan elit akademik, namun majoriti rakyat jika terhimpit dan terdesak tidak akan mempedulikan semua itu ketika membuang undi.

17. BN hanya ada satu pilihan, memuaskan hati golongan majoriti yang berpendapatan rendah dan sederhana yang menjadi isu “bread and butter” sebagai tanda aras kepuasan mereka.

18. Sepatutnya KPI kerajaan hari ini ialah kepuasan hati majoriti rakyat bukan untung rugi perniagaan GLC, hebat dan gahnya jenama transformasi ekonomi atau berapa ratus juta yang boleh dikutip oleh “saman ekor”.

19. Saya memberi pandangan ini agar kita tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada 2008, yang mana saya sendiri tidak mengambil berat manifesto Pakatan ketika itu dan menyebabkan Selangor jatuh ke tangan Pakatan. saya berharap pisang tidak berbuah dua kali.

Ada 7 Comments setakat ini.

  • Natasya
    December 24th, 2010 at 9:45 AM

    Kaji apa yang dijanjikan dan kita pun berikan janji yang lebih realistik. Jangan berjanji bukan-bukan semata-mata kerana ketua berkelulusan Pengajian Melayu dan nyaris menyerahkan negara kepada IMF untuk dijajah kembali oleh kuasa asing.

  • santauangin
    December 24th, 2010 at 11:34 AM

    Apa macam Tok Najib dengan pendapat KT ni. Bagi aku ada benarnya. PR dah nampak jumlah guru yang ada kat negara ini jadi amat benarlah kalau depa dok buat janji nak tambah gaji guru ke angka RM500. Sapa tak mau beb. Kalau aku pun mau. Tapi kena bayar dulu baru boleh cakap. Nanti bila dah bagi depa PR menang dan bila dah depa perintah maka masa tu akan keluar perkataan ” Maaf kerajaan PR tak dapat kasi RM 500 kat guru lagi sebab eko tak memuaskan “.Jadi buat guru guru fikir fikir kan lah akan umpan PR ni.

    Buat kerajaan yang ada sekarang perhati perhati kan lah akan kedudukan para guru guru ini. Banyak jasa mereka pada kita kalau nak kaji sedalam dalam nya. Ok Tok Najib ? Apa mcm ? Bisa di uruskan ke ?

  • takbai
    December 25th, 2010 at 1:08 AM

    insyaallah Malaysia akan terselamat dari malapetaka perosak ketua pembangkang yang dah jadi boneka kepada DAP. walaupun PAS menganjurkan solat hajat bersama DAP itu hanyalah wayang ciptaan olih penyesat Islam.

  • Bebas Sokmo
    January 11th, 2011 at 6:09 PM

    stju ngan natasya, tak blh bagi kat IMF, kot tak mampu byr hutang. bukan program IMF tu utk menjajah tapi kita ni bukan bangsa yg tahan lasak utk menghadapi cabarannya. Korea umpamanya terpaksa menggunakan program IMF utk mengelakkan bangkrup tetapi berjaya mengatasinya dgn baik. skrg mrk jauh meniggalkan kita…pemerintahan bertukar tgn tapi bangsa mereka berjaya juga. mrk tak taksub parti mcm kita. pemimpin rumah juta2 pun kita tmpg gembira sdgkan kita nak isi myk kereta pun kena pilih minyak yg second class. sbb apa tu, psl gaji kita seciput. skrg pendptan perkapita korea dah hampir 4 kali dari kita. kita plk tak mampu lagi bgkit sepenuhnya dari gegaran kejatuhan ekonomi 1997. nak bukti….duit kita dulu rm2.40-2.50 aje compare to US dollar, skrg ni jauh lagi nak ke angka itu…..mungkin ada yg marah bila aku kata bangsa kita lembik, tak tahan lasak tapi blh kita lihat kebyakn project org kita , buat jalan ke, bina sekolah ke, bina masjid ke, buat stesen bas ke, buat shopping complex ke mesti lambat siap dari tarikh yg dipersetujui .ada tu smpai 2/3 tahun. dahlah kerajaan kena top up, janaan ekonomi plk tersngkut.
    lagi satu Indonesia yg terpaksa ambil dana IMF, daya saing mmg tak sehebat korea. mgkn pengaruh geografi dan bencana alam memberi kesan tapi apa pun pertumbuhan ekonomi Indonesia melebihi kita. FDI diorg jg lebih dari kita……….kerajaan kata 2020 negara maju, aku cakap takkan capai…..psl apa .psarana ada, kemudahan ada tapi sikap kita yg menggagalkannya. dari puncak ke prngkt bawah, duk berantakan berebut kuasa..

    yg saudara santauangin sentuh tu pun menarik juga. kerajaan perlu waspada, nk kekal kuasa kena cakna pada rakyat. bkn pada guru2 aje………tapi masyarakat bawahan. mrk inilah talihyt BN pada PRU2008 lalu. kat tmpat org2 berpendidikan tinggi, kebykkannya disapu oleh PR. Janji tak perlu bukti, org nk tgk bukti slps janji……kalau tak 100% dpt, 60% pun dah org akan terima……..org sekarang makin cerdik, tmbh lagi skrg wireless internet dah masuk kmpg. jadi sumber informasi akan dtg dari berbagai sumber dan rujukan. waspadalah……….aku tak kisah mana2 pun. janji ekonomi teguh, ISLAM terjaga

  • idlan yahya
    February 24th, 2011 at 9:08 PM

    aper yang PR offer memang menarik…penghapusan tol, perlarasan subsidi, ketelusan dalam badan 2 berkaitan sprm, spr badan kehakiman, royalti minyak 20%, gaji kakitangan awam., imbuhan guru 500….MEMANG MENARIK. kalau BN tak dapat tawarkan yang lebih menarik next PRU aku akan bagi undi kat PR. lantakla kalau korang nak kata janji kosong ker aper kurang2 nya ader gak cita2 diaorang nak bagi semua tu

  • idlan yahya
    February 24th, 2011 at 9:17 PM

    negara lain dah banyak yang melebihi kita dari segi ekonomi tapi kita masih sibuk ngan sikap kepartian melampau, terlalu kagum dan taksub ngan pemimpin sampai menidakkan kebolehan orang lain. Korang menghina anwar ibrahim sebab dia menjadi pembangkang tapi korang luper ker dia pernah jadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan. malah nyaris menjadi perdana menteri. pada waktu itu bukankah ekonomi kita antara yang terbaik di asia. tukaran ringgit dalam sekitar rm2.30 bagi 1 dolar. sekarang ni kita masih lagi terkesan dengan kegawatan ekonomi 1997 dah 15 tahun dah masih lom pulih lagi..kita melenting bila singapore mengatakan menteri kita tidak cekap dan tidak bijak tapi itulah kenyataannya…..

  • rii
    March 14th, 2011 at 4:04 PM

    dok x cukup ni gaji paras tu je barang naik…buat kerja sambilanlah pening2 lantaklah siapa nak memerintah singapore lky perentah gaji besar juga kahkahkah…nasib org melayu ..

Apa Pendapat Anda ?, Komen disini!

© MYKMU.NET. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS.

Powered by WordPress. MyKMU.NeT theme by Jebon.